Pengerusi PH Anwar Ibrahim bakal berdepan tugas sukar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Perdana Menteri mahu rakan-rakan gabungannya, iaitu BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), mengelakkan pertembungan tiga penjuru. Namun, dengan 73 kerusi dipertandingkan, ia memerlukan rundingan yang menyeluruh.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia hari ini mendedahkan bahawa GRS masih mengekalkan hasrat untuk bertanding lebih 50 kerusi dalam pilihan raya itu.
Parti komponen PH pula, iaitu PKR, DAP dan Amanah, masing-masing menyasarkan sekurang-kurangnya 13, 10 dan lima kerusi, menjadikan jumlah minimum sebanyak 28 kerusi.
Ini belum mengambil kira Upko – juga komponen dalam PH – yang masih belum menyatakan secara terbuka bilangan kerusi yang ingin ditandingi.

Tanpa mengambil kira BN sekalipun, ini bermakna GRS dan PH mungkin bertembung sekurang-kurangnya di lima kerusi.
Perhitungan menjadi lebih rumit apabila BN turut masuk dalam pertimbangan Gabungan itu merancang untuk bertanding sekurang-kurangnya 25 kerusi.
Formula penyandang
Jika formula penyandang, iaitu parti kekal bertanding di kawasan yang dimenangi, yang digunakan dalam pilihan raya di Semenanjung diterapkan – berdasarkan keputusan pilihan raya lalu – GRS kini memegang 24 kerusi, BN 14, dan PH sembilan.
Ia menjadikan ada 25 kerusi lagi untuk dirunding antara ketiga-tiga gabungan.
Namun, dengan hubungan BN dan GRS yang tegang dan sering bertentangan, masih tiada tanda sama ada formula penyandang itu boleh diguna pakai di Sabah.
PRN Sabah dijangka akan diumumkan pada bila-bila masa, walaupun Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor masih mempunyai pilihan untuk menunggu pembubaran DUN secara automatik pada 11 November ini.
Sekiranya itu yang berlaku, pilihan raya mesti diadakan selewat-lewatnya pada 10 Januari tahun depan.
Sehingga tibanya tarikh itu, Anwar perlu merangka satu formula rundingan yang dapat memuaskan hati kedua-dua gabungan – GRS dan BN.