Malaysia Oversight

Malaysia tepati pematuhan pengeluaran minyak sawit EUDR

By Utusan in September 5, 2025 – Reading time 3 minute


KUALA LANGAT: Malaysia kini berada di landasan yang betul bagi penarafan sebagai negara berisiko rendah dari segi kemampanan dan kesan kepada alam sekitar dalam pengeluaran sawit yang menepati pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaksanaan itu dibuat secara mandatori melalui MSPO dalam usaha menyediakan maklumat tepat berkenaan perkembangan minyak sawit negara.

Menurutnya, langkah tersebut penting supaya negara memperoleh pengiktirafan rasmi daripada Kesatuan Eropah (EU) di bawah agenda kemampanannya yang akan dinilai oleh gabungan itu sebelum Peraturan Bebas Penebagan Hutan EU (EUDR) dikuatkuasakan pada Disember ini.

“Salah satu proses perlu kita lalui ialah mesti terus mengemukakan data yang tepat. Dahulu, sektor perladangan dikendalikan oleh kementerian yang berbeza berbanding pihak yang menyerahkan fakta dan angka mengenai hutan kita kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) (di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

“Berdasarkan angka tersebut, terdapat pelbagai digunakan sebelum sesebuah negara dikenalpasti sama ada berisiko rendah, sederhana atau tinggi. Namun yang paling penting ialah usaha yang dilakukan sekarang sebenarnya sedang bergerak ke arah itu, dan itu adalah kuncinya,” katanya selepas bersama Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Pekeliling Berdaya Saing EU, Jessika Roswall, melawat Kampung Sungai Judah dan Pusat Kecemerlangan Sawit SD Guthrie, hari ini.

Utusan Malaysia pada Januari lalu melaporkan usaha Malaysia meningkatkan tahap kemampanan industri sawit secara keseluruhan, terutama skim MSPO bagi menjamin pengeluaran minyak sawit mampan mendapat pengiktirafan EU.

Hal itu dimaklumkan oleh Johari ketika itu selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Pekeliling Berdaya Saing EU, Jessika Roswall di Belgium.

Johari berkata, antara pematuhan yang boleh mengubah klasifikasi komoditi negara adalah melalui pensijilan MSPO yang diwajibkan sejak 2020 seperti memperkenalkan sistem pengesanan peringkat nasional.

Ia bertujuan memantau pergerakan minyak sawit dari ladang ke kilang dan seterusnya ke loji penapisan sebelum dieksport atau diedarkan untuk kegunaan pengguna.

“Selagi kita tahu setiap produk yang kita hasilkan di negara ini, kita akan dapat membuktikan kepada dunia yang kita mampan. Kita tahu cara melaksanakan sistem keterkesanan dan tahu bahawa tiada produk (minyak sawit) datang daripada tanah yang dinyahhutankan.

“Kita mesti konsisten dalam hal itu dan saya percaya dalam masa terdekat, kita akan dapat mencapainya (pengiktirafan rasmi),” katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini diklasifikasikan sebagai berisiko sederhana di bawah peraturan EUDR.

EUDR mewajibkan syarikat yang menjual atau mengeksport tujuh komoditi iaitu koko, kopi, minyak sawit, soya, lembu, getah dan kayu ke EU untuk memastikan ia bebas daripada aktiviti nyah hutan dan diperoleh secara sah. – UTUSAN





Source link