PARLIMEN l Malaysia menyatakan sokongan kepada Kesatuan Eropah (EU) susulan ancaman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara yang tidak menyokong tuntutannya ke atas Greenland.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat pagi ini bahawa Malaysia tidak akan bersetuju dengan mana-mana negara yang menakluk negara lain.
“Soal Greenland, kita bersetuju dengan pendirian Eropah dan juga Denmark, bahawa berunding kita setuju hak masing-masing negara berunding.

“Tetapi untuk menakluki mana-mana negara, itu tentunya sebagai negara yang bebas dan berdaulat, kita tidak mungkin bersetuju.
“Jadi, itu juga pendirian kita,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Anwar menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta perdana menteri menyatakan pendirian Malaysia berhubung rancangan AS untuk meluaskan wilayahnya ke pulau Artik itu, serta ancaman terhadap negara yang mempunyai hubungan perdagangan dengan Iran.
Menurut laporan berita, Presiden AS Donald Trump minggu lalu mengancam untuk mengenakan tarif terhadap negara yang tidak menyokong tuntutan AS untuk menguasai Greenland, yang merupakan wilayah separa autonomi Denmark.
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia masih mengekalkan hubungan dengan Iran di sebalik ancaman AS untuk mengenakan tarif tambahan 25 peratus ke atas negara yang terus berdagang dengan negara Asia Barat itu.
“Soal perdagangan dengan Iran, sekarang ini hubungan kita masih kekal dengan Iran, saya pun dua kali berhubungan dengan Iran, ada menteri-menteri juga dikirim ke Iran.

“Jadi tetapi dalam hal ini semua, kita kena gunakan, saya katakan, kebijaksanaan dalam hubungan antarabangsa, jangan kita nampak umpamanya terlalu lemah, tetapi jangan kita umpamanya mengambil beberapa tindakan yang mungkin menjejaskan kepentingan negara.
“Tapi setakat hubungan dengan Iran, itu masih kita kekal, dan pertahankan hak dan kedaulatan Iran itu juga prinsip yang kita pertahankan,” katanya.
Berhubung kebimbangan yang dibangkitkan mengenai perjanjian perdagangan timbal balik (ART) Malaysia-AS, perdana menteri memberi jaminan bahawa perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.
“…kerana ia (ART) memberi ruang untuk maklum balas dan belum ada tarikh akhir untuk ini. Jadi ia masih belum dikuatkuasakan,” kata Anwar, ketika menjawab soalan oleh Tarmizi Sulaiman (Perikatan Nasional-Sik).
Menurut Anwar, wakil perdagangan AS juga telah memberi jaminan bahawa Malaysia masih mengekalkan hak kedaulatannya untuk menentukan dasar perdagangannya, tetapi Malaysia mahu perkara ini dalam tulisan.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan menafikan tanggapan bahawa Asean gagal menangani isu serantau terutamanya apabila melibatkan pertikaian antara negara anggota.
Menurut Mohamad, Asean di bawah kepimpinan Malaysia tahun lepas telah berjaya menyelesaikan pertikaian antara Kemboja dan Thailand.
“Malaysia telah dapat menjadi sebagai pemudahcara kerana kedua-dua buah negara (berkenaan) mahu Malaysia. Bukannya semata-mata kerana Malaysia menjadi sebagai pengerusi Asean tahun lepas.
“Sekarang ini kita bukan lagi menjadi pengerusi Asean. Filipina mengambil alih sebagai pengerusi 2026. Tapi kedua-dua buah negara masih lagi mahu Malaysia sebagai pemudah cara,” katanya, sebagai menjawab soalan yang diajukan oleh Ronald Kiandee (PN-Beluran).






