Malaysia menyeru agar keganasan semakin meruncing di El Fasher dan seluruh wilayah Darfur di Sudan dihentikan serta-merta, dan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia amat terkejut dan bimbang dengan tragedi yang berlaku dan menyifatkannya sebagai malapetaka kemanusiaan dengan pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan pemindahan penduduk dalam skala yang menggemparkan.
“Laporan mengenai kekejaman yang mungkin boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan – malah pembersihan etnik – adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Malaysia menyeru supaya keganasan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi sepenuhnya mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa komuniti antarabangsa supaya bertindak tegas untuk menghentikan penderitaan, memulihkan akses kemanusiaan, serta menyokong proses ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Perpindahan (IOM) pada Ahad, sebanyak 1,205 orang dipindahkan dari bandar Bara dan Umm Ruwaba di negeri Kordofan Utara, manakala 360 lagi melarikan diri dari Al-Abbasiya dan Delami di Kordofan Selatan, akibat keadaan keselamatan yang semakin memburuk, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, IOM memaklumkan pasukannya yang beroperasi di bawah program Displacement Tracking Matrix (DTM) menganggarkan, daripada jumlah mangsa yang dipindahkan dari Kordofan Utara, 580 orang melarikan diri dari Bara, manakala 625 orang meninggalkan Umm Ruwaba.
IOM menambah mereka yang dipindahkan telah bergerak ke pelbagai lokasi dalam Kordofan Utara serta ke beberapa bandar di negeri White Nile di selatan Sudan.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan melalui pelbagai usaha perdamaian serantau dan antarabangsa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sumber tempatan menyatakan, konflik tersebut telah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang menjadi pelarian serta mangsa perpindahan dalaman.
– Bernama






