Malaysia Oversight

Malaysia sedia buat rundingan kekalkan gencatan senjata Thai-Kemboja

By MkiniBM in November 13, 2025 – Reading time 2 minute
Malaysia sedia buat rundingan kekalkan gencatan senjata Thai-Kemboja


Malaysia sedia mengadakan rundingan antara Thailand dan Kemboja susulan ketegangan terbaharu antara sempadan kedua-dua negara sekali gus memastikan gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini kekal.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rundingan dijangka diadakan selepas perbincangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim dalam masa terdekat dan Malaysia bersedia menjadi pemudah cara membantu kedua-dua pihak mencari penyelesaian aman.

“Jika boleh diadakan di Malaysia kerana antara kedua-dua negara itu, mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan, mereka saling tidak mempercayai.

“Mereka ada menghubungi kita, Kemboja minta dibuat perbincangan itu di Kuala Lumpur begitu juga Thailand minta supaya kita meneruskan usaha mengekalkan gencatan semula. Kita berasa dukacita dan kesal dengan perkara itu.

“Ini kerana selepas perjanjian damai Kuala Lumpur yang ditandatangani kedua-dua pemimpin Kemboja dan Thailand semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tempoh hari, mereka nampaknya amat gembira, tetapi kini ada sedikit pertelingkahan di peringkat sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kit peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan komputer riba kepada pelajar institut pengajian tinggi membabitkan lebih 1,000 penerima di Parlimen Rembau di Seremban, hari ini.

Menurut Mohamad, Thailand menggantung gencatan senjata itu berikutan ada anggota tentera Thailand yang meronda kawasan sempadan terpijak periuk api sehingga mendatangkan kecederaan yang didakwa ditanam oleh Kemboja.

“Namun pasukan pemantau ASEAN di Thailand dan Kemboja melaporkan ia merupakan periuk api baharu… tadi dalam perbualan telefon antara saya dengan Menteri Luar Thailand, saya berharap kedua-dua pihak bertenang dan berbincang kekalkan keamanan,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata pasukan pemantau ASEAN tidak diletakkan di sempadan namun mereka sentiasa memantau dan melaporkan perkembangan di kawasan berkenaan kepada pihak berkaitan.

Perjanjian damai itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja iaitu Hun Manet di luar sidang kemuncak berkenaan pada 26 Okt lalu.

Ia disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN, dan Presiden Amerika Syarikat Donald .

– Bernama



Source link