Malaysia Oversight

Malaysia pulih aset RM39.1 juta milik Jho Low dan keluarga

By TheSun in September 11, 2025 – Reading time 1 minute
Malaysia pulih aset RM39.1 juta milik Jho Low dan keluarga


KUALA LUMPUR: Malaysia dengan kerjasama Commercial Affairs Department Singapura berjaya memulihkan aset bernilai USD8.57 juta (RM39.1 juta) milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memaklumkan pemulihan aset itu hasil daripada penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

Akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat.

Pemulangan terbaharu ini serta penyelesaian sebanyak USD330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase and Co baru-baru ini menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion.

SPRM berkata pada 26 Jun 2024, DOJ mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi USD100 juta.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih USD1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dipulangkan kepada Malaysia.

Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi yang diketuai suruhanjaya itu dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama.

Kes 1MDB merupakan antara jenayah kewangan terbesar dunia dan Malaysia menegaskan komitmen untuk terus membawa pulang wang serta aset yang diseleweng, selain memastikan semua individu serta institusi terlibat dipertanggungjawabkan. – Bernama



Source link