BUTTERWORTH : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara ‘keramat’ kerana keistimewaan pentadbirannya yang membolehkan semua negeri dibangunkan mengikut keupayaan masing-masing.
Perdana Menteri berkata, selain itu, agenda pembaharuan ekonomi yang lebih lancar dan gagah juga diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Hal-hal ini menunjukkan bahawa negara kita ini negara keramat kerana hasrat kita bangunkan semua negeri dengan keupayaan mereka masing-masing.
“Ia supaya tatakelola pimpinan persekutuan dan negeri diselaraskan dan mengikuti kaedah-kaedah kekuatan yang baik.
“Kemajuan negara Madani berteraskan pertumbuhan kemampanan yang sistemik seperti mana yang disebut oleh Ketua Menteri, dengan ihsan dan rahmah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini, hari ini.
Sambutan yang dihadiri oleh lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, Malaysia perlu melangkah seiring kecanggihan kecerdasan buatan dan tenaga baharu tanpa mengorbankan budi dan budaya.
“Kita mahu Malaysia maju dengan nilai yang baik. Kita tidak mahu maju seperti mana negara Barat maju.
“Kita juga mahu maju ekonomi tetapi tinggi budaya dan budi pekerti. Kita mahu mencatat kemajuan kecerdasan buatan, digital dan transisi tenaga, tetapi tidak meninggalkan nilai kemanusiaan karamah insaniah,” katanya.-UTUSAN