Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata terdapat pengecualian dalam perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang diabaikan pengkritiknya.
Mengulas mengenai klausa dalam Artikel 5.1, yang menghendaki Malaysia mengikut dasar perdagangan AS terhadap negara lain, Zafrul menegaskan bahawa ia hanya terpakai apabila turut memberi kesan kepada Malaysia.
Dia menegaskan bahawa teks perjanjian menyatakan langkah sedemikian adalah untuk “menangani kebimbangan bersama berkaitan ekonomi atau keselamatan negara”.
“Kata kuncinya ialah ‘bersama’. Jika ia hanya menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara AS, tetapi tidak memberi impak kepada keselamatan dan ekonomi Malaysia… kita tidak perlu pertimbangkan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial malam tadi.
Tengku Zafrul mengulas kritikan bekas menteri perdagangan, Azmin Ali, yang mengatakan perjanjian itu menggadaikan kedaulatan Malaysia dan hubungan dengan negara lain termasuk China, dengan menyebut secara khusus Artikel 5.1/
Terjemahan kandungan penuh Seksyen 1, Artikel 5.1 adalah seperti berikut:
“Jika AS mengenakan duti kastam, kuota, larangan, yuran, caj, atau sekatan import lain terhadap barangan atau perkhidmatan daripada negara ketiga dan menganggap langkah itu relevan untuk melindungi ekonomi atau keselamatan negara AS, AS akan memaklumkan langkah tersebut kepada Malaysia untuk tujuan penyelarasan ekonomi dan keselamatan negara.
Setelah menerima makluman tersebut, Malaysia hendaklah mengambil atau mengekalkan langkah dengan kesan sekatan setara seperti yang diambil AS atau bersetuju dengan garis masa pelaksanaan yang boleh diterima kedua-dua pihak, untuk menangani kebimbangan ekonomi atau keselamatan negara bersama, dengan berpandukan prinsip niat baik dan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala antara AS dan Malaysia.”
Kebanyakan pengkritik dan pakar yang meneliti perjanjian itu berpendapat klausa ini lebih bertujuan melindungi kepentingan AS dan bukan kepentingan bersama.
Menurut pakar ekonomi, Geoffrey Williams kepada Malaysiakini sebelum ini, Artikel 5.1 merupakan klausa yang berat dan serius:
“Ini klausa yang serius kerana bertujuan menghentikan penghantaran semula barangan China untuk menurunkan harga pasaran, tetapi ia juga akan mengikat Malaysia untuk mengenakan sekatan serupa terhadap China seperti yang dikenakan AS.
“Ia berpotensi sangat serius dan mengurangkan autonomi Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Pensyarah sambilan Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman, berkata klausa itu mewujudkan prasangka sokongan terhadap dasar Washington, tetapi pelaksanaannya tidak secara automatik dan memberi Malaysia ruang tertentu untuk bertindak.
Bagaimanapun, ini bukan satu-satunya klausa yang boleh menjejaskan China.
Seksyen 2 Artikel yang sama menghendaki Malaysia mengambil tindakan terhadap syarikat yang dimiliki atau dikawal oleh negara lain yang beroperasi di Malaysia dan mengeksport barangan pada harga di bawah pasaran ke AS, meningkatkan eksport barangan tersebut ke AS, atau melakukan tindakan yang merugikan eksport AS ke Malaysia atau negara lain.
Terdapat juga klausa bagi mengelak penipuan asal-usul (origin washing), yang menghendaki Malaysia secara aktif menghalang negara lain menggunakan Malaysia untuk mengelak tarif dan sekatan timbal balik AS.
Walaupun tidak spesifik, klausa-klausa ini dilihat tertumpu kepada China, yang didakwa oleh AS menggunakan amalan sedemikian untuk melemahkan ekonominya.






