Malaysia Oversight

Malaysia fokus angkat martabat ASEAN di Sidang Kemuncak ke-47 Oktober

By TheSun in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
Malaysia fokus angkat martabat ASEAN di Sidang Kemuncak ke-47 Oktober


KUALA LUMPUR: Malaysia terus komited mengekalkan momentum positif Kepengerusian ASEAN 2025 yang hanya berbaki empat bulan khususnya dalam menjamin kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan pada Oktober ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata kehadiran pemimpin utama dunia pada bulan depan akan mengangkat profil Malaysia sebagai hab diplomasi serantau yang disegani.

Beliau menegaskan ini membuktikan komitmen negara terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau serta sejagat.

“Dasar luar Malaysia yang bebas dan berkecuali serta berteraskan pendekatan berprinsip dan pragmatik, terus berjaya memperkasakan martabat negara di persada dunia,“ katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi Kementerian Luar di Dewan Negara.

Mohamad menyatakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk ke-2, ASEAN-GCC- serta mesyuarat menteri-menteri luar menjadi medan penting untuk negara anggota ASEAN menyuarakan keprihatinan mendalam terhadap cabaran semasa.

Katanya isu-isu tersebut termasuk ketegangan geopolitik, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global serta isu kemanusiaan seperti krisis di Myanmar dan Palestin.

“Malaysia telah menegaskan perlunya ASEAN memperkukuh perpaduan dalaman, bertindak tegas terhadap isu yang menjejaskan solidariti dan kredibiliti ASEAN, dan kekal berprinsip dalam menyuarakan pendirian serantau terhadap isu-isu sejagat,“ katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia akan terus mengukuhkan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat melalui dialog terbuka dan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang utama termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, kesihatan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

Beliau berkata hubungan yang terbina antara kedua-dua negara sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1957 itu memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi dan peluang pelaburan bernilai tinggi.

Katanya pada 2024, nilai dagangan dengan AS berjumlah 324.91 billion ringgit dan pada tahun sama, negara Uncle Sam itu turut merupakan sumber utama pelaburan langsung asing di Malaysia dengan jumlah 105.94 billion ringgit.

“Ini menunjukkan tahap keyakinan pelabur AS terhadap Malaysia sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang stabil serta berdaya saing,“ katanya.

Mohamad menegaskan Malaysia berpegang kepada pendekatan yang pragmatik dan seimbang berasaskan prinsip berbaik-baik dengan semua negara, di samping menghormati kedaulatan dan undang-undang antarabangsa. – Bernama



Source link