Malaysia Disiasat Amerika Kerana Dakwaan Kapasiti Pengeluaran Berlebihan dan Penggunaan Buruh Paksa
Effi Saharudin
Tarif Trump telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat tahun lalu tetapi Presiden Trump berdegil beliau mempunyai hak mengenakan tarif “bagi mempertahankan kedaulatan negara”. Ini menimbulkan kebingungan berapakah kadar tarif yang perlu dibayar kerana ianya berubah seperti nilai Bitcoin yang sukar diramal menggunakan logik akal. Terkini Amerika Syarikat memulakan pula siasatan ke atas Malaysia atas tuduhan kapasiti pengeluaran berlebihan dan penggunaan buruh paksa.
Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) memulakan siasatan di bawah seksyen 301(b), Akta Perdagangan 1974 terhadap Malaysia atas dakwaan kapasiti pengeluaran berlebihan dalam sektor seperti elektronik, mesin, dan keluli. Selain Malaysia, China, Kesatuan Eropah, Singapura, Korea Selatan, Vietnam, Jepun, dan India turut disiasat.

Malaysia mempunyai lebihan dagangan $16 bilion dengan Amerika Syarikat didorong oleh eksport elektronik dan mesin. Menurut Amerika kapasiti pengeluaran keluli di Malaysia meningkat 22% antara 2018–2022 walaupun permintaan jatuh 25%. Ini menurut Amerika adalah petunjuk potensi kapasiti berlebihan yang akan menyebabkan harga keluli jatuh sehingga mendatangkan ke atas kapasiti pengeluaran keluli dalam negara mereka.
Siasatan akan berlangsung selama beberapa bulan dengan pendengaran awam dan penghantaran komen dibuka sehingga 15 April. USTR akan memberikan keputusan akhir sebelum menentukan sama ada tindakan balas dikenakan.
Pada waktu yang sama Amerika turut memulakan siasatan terhadap 60 negara, termasuk Malaysia, berkaitan dakwaan kegagalan menangani isu buruh paksa juga di bawah seksyen 301(b), Akta Perdagangan 1974. Siasatan dilakukan bagi melihat sama ada barangan yang dihasilkan melibatkan buruh paksa sehingga menjejaskan perdagangan Amerika. Penggunaan buruh paksa dilihat sebagai cara mengurangkan kos pengeluaran yang tidak adil kerana ia tidak boleh disaingi syarikat-syarikat Amerika.
Selain Malaysia negara lain yang disiasat ialah Arab Saudi, Brazil, China, Filipina, India, Indonesia, Kemboja, Kesatuan Eropah, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Amerika meminta konsultasi dengan kerajaan negara-negara terlibat dan pendengaran dijadualkan pada 28 April.
Sekiranya didapati bersalah, Amerika akan mengenakan sekatan perdagangan, tarif baharu dan kuota import. Siasatan yang diumumkan semalam dilihat sebagai alasan untuk Amerika Syarikat mengenakan semula tarif lebih tinggi setaraf dengan Tarif Trump. Pada ketika ini tarif global sekata 15% sahaja dikenakan dengan ia adalah lebih rendang berbanding 19% yang dikenakan ke atas Malaysia menerusi Tarif Trump.






