Malaysia Dijangka Kuatkuasa Had Umur 16 Tahun Untuk Media Sosial Mulai Julai 2026 – Timbalan Menteri
Amy Maizuraa
Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dijangka mula dikuatkuasakan seawal Julai 2026. Langkah ini dilaksanakan dengan tujuan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko penyalahgunaan serta pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menjelaskan bahawa pelaksanaan tersebut masih berada dalam fasa ujian kawal selia. Fasa ini bertujuan untuk mengenal pasti kaedah pengesahan umur yang paling selamat dan berkesan sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan. Selain itu, kerajaan menyasarkan agar semua platform media sosial melaksanakan sistem eKYC atau pengesahan identiti digital menjelang akhir suku kedua tahun 2026. Pendekatan ini diharapkan dapat memastikan proses pendaftaran akaun lebih teratur serta mematuhi had umur minimum yang ditetapkan.

Cadangan penggunaan eKYC ini sebenarnya telah mula dibincangkan sejak September 2025 dan kini ia semakin jelas sebagai langkah utama untuk menguatkuasakan had umur 16 tahun bagi pengguna media sosial. Langkah ini turut menunjukkan Malaysia semakin serius dalam menangani isu keselamatan digital dan kesejahteraan mental dalam kalangan remaja.






