
SPRM dan NCS China sepakat perkukuh kerjasama membanteras rasuah di peringkat antarabangsa melalui perkongsian strategik dan inisiatif Belt and Road.
VIENNA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan National Commission of Supervision China (NCS) sepakat memperkukuh kerjasama membanteras rasuah di peringkat antarabangsa.
Perkongsian strategik ini dibincangkan dalam mesyuarat dua hala sempena Assembly of Parties ke-14 International Anti-Corruption Academy di Vienna International Centre.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengetuai delegasi Malaysia manakala China diwakili Setiausaha China Academy of Discipline Inspection and Supervision Liu Shuo.
Azam berkata kerjasama ini memberi peluang untuk bertukar pandangan dan membangunkan pendekatan baharu yang lebih berkesan.
BACA: SPRM sedia siasat projek Aerotrain KLIA jika ada rasuah
“Kerjasama berkenaan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, memperkukuh keupayaan serta membangunkan pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam membanteras rasuah di peringkat antarabangsa,” katanya.
NCS turut menyatakan minat mempelajari pengalaman SPRM dalam siasatan rasuah termasuk pencegahan, pendidikan masyarakat dan pemulihan aset.
Kedua-dua pihak bersetuju meneroka peluang kerjasama di bawah inisiatif Belt and Road.
Mereka juga akan memberi sokongan dan intervensi positif dalam mesyuarat antarabangsa berkaitan usaha membanteras rasuah.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman.
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Datuk Rasidah Abdul Karim juga hadir dalam pertemuan itu. – Bernama






