Malaysia Oversight

Malaysia catat kadar pengangguran terendah dalam 11 tahun

By MkiniBM in January 23, 2026 – Reading time 2 minute
Malaysia catat kadar pengangguran terendah dalam 11 tahun


Ekonomi Malaysia pada tahun lalu mencatatkan peningkatan purata pendapatan isi rumah, pengurangan kadar kemiskinan tegar, serta kadar pengangguran terendah dalam tempoh 11 tahun lalu, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasir.

Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Akmal memetik data awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku keempat 2025.

Dia turut merujuk kepada statistik Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 yang menunjukkan bahawa purata pendapatan isi rumah di Malaysia meningkat sebanyak 3.8 peratus (daripada RM8,479 pada 2022 kepada RM9,155 pada 2024).

“Kadar kemiskinan mutlak juga berkurangan kepada 5.1 peratus berbanding 6.2 peratus dalam tempoh yang sama.

“Gabungan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi yang terkawal dan pasaran buruh yang stabil serta peningkatan pendapatan dan pampasan pekerja serta pengurangan beban kos sara hidup, selaras dengan hala tuju RMK13 dan aspirasi Ekonomi Madani,” tambahnya.

Akmal menjawab soalan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN – Larut), yang bertanya sejauh mana telah menunaikan janji-janji reformasi ekonomi, terutamanya dalam konteks peningkatan inflasi dan kos sara hidup.

Pada Okt tahun lalu, laporan Kementerian Kewangan turut menyifatkan inflasi Malaysia sebagai “relatif stabil” pada kadar sekitar 2 hingga 3 peratus, walaupun terdapat kenaikan berkala kadar gaji minimum.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kiran kementerian menunjukkan peningkatan gaji minimum dan kuasa beli isi rumah tidak mencetuskan tekanan inflasi yang berlebihan, dengan gaji minimum ditetapkan pada RM1,700 dalam Belanjawan 2025.

Laporan tersebut menyebut Belanjawan 2026 – yang merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 – dijangka menjadi langkah penting dalam merangka hala tuju ekonomi jangka sederhana negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Dalam jawapannya, Akmal turut menekankan kejayaan dasar gaji minimum serta keberkesanan skim Sumbangan Asas Rahmah (Sara), yang kedua-duanya telah dilaksanakan sejak tahun lalu.

Bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup pula, kata Akmal, melaksanakan strategi serampang dua mata dengan memperkukuh keterjaminan makanan bagi mengekang kenaikan harga, di samping meningkatkan pendapatan melalui penyediaan dan penambahbaikan bantuan dan subsidi yang disediakan untuk rakyat.

Anggota Parlimen Johor Bahru itu menegaskan kerajaan akan terus membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui strategi serampang dua mata dengan memperkukuh keterjaminan makanan bagi mengekang kenaikan harga, di samping meningkatkan pendapatan melalui penyediaan dan penambahbaikan bantuan dan subsidi yang disediakan untuk rakyat.

“Antaranya, Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 sehingga RM500 dikreditkan kepada penerima secara berfasa bermula 20 Jan tahun ini.

“Sara sehingga RM200 pula telah dikreditkan ke dalam kad pengenalan secara berperingkat seawal 9 Jan lalu,” katanya.

Selain itu, Akmal juga menegaskan kerajaan akan meneruskan pelaksanaan reformasi struktur menerusi RMK ke-13, dengan mengamalkan pendekatan ‘menaikkan siling’ (pertumbuhan ekonomi) dan ‘menaikkan lantai’ (kehidupan rakyat).

“Ini termasuk penstrukturan semula ekonomi ke arah penciptaan nilai, reformasi pasaran buruh, pendidikan dan perumahan, serta langkah khusus untuk menangani kos sara hidup dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh asas ekonomi negara dan memastikan pertumbuhan jangka panjang yang mampan, terangkum serta berdaya saing,” jelasnya.



Source link