Malaysia Oversight

Malaysia B-23 gagal ke Piala Asia B-23, tewas 2-1 kepada Thailand

By Utusan in September 10, 2025 – Reading time 2 minute
Malaysia B-23 gagal ke Piala Asia B-23, tewas 2-1 kepada Thailand


PETALING JAYA: Impian skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B23 2026 yang berlangsung di Arab Saudi, tahun depan berkecai apabila tewas 2-1 kepada Thailand, sebentar tadi.

Keputusan itu, menyaksikan skuad muda negara gagal menempatkan diri di kejohanan tersebut untuk tiga edisi berturut-turut.

Malaysia menutup kempen kelayakan kali ini di tangga ketiga Kumpulan F dengan mengutip tiga mata hasil kemenangan 7-0 ke atas Mongolia.

Untuk rekod, skuad B-23 berjaya layak dalam tiga edisi Piala Asia B-23 iaitu edisi 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir edisi 2018 ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Aksi di Stadium Thammasat bagaimanapun terpaksa ditangguhkan kira-kira sejam setengah ekoran hujan lebat di Pathum Thani yang menyaksikan perlawanan hanya dimulakan pada jam 10 malam dalam keadaan padang becak.

Turun dengan misi wajib menang, anak buah Nafuzi Zain bermula garang apabila menguji gawang Thailand seawal minit ketujuh menerusi rembatan Aliff Izwan Yuslan tetapi tersasar ke bahagian kanan pintu gol tuan rumah.

Thailand bagaimanapun memiliki peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-27 namun tampanan Yotsakorn Burapha di hadapan gol Malaysia melambung tinggi.

Gawang negara akhirnya dibolosi pada minit ke-33 selepas hantaran Seksan Ratree menemui Kakana Khamyok yang tidak dikawal dan menyudahkannya untuk meletakkan Thailand mendahului 1-0.

Skuad negara bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-39 berpunca daripada sepakan sudut yang disudahkan Ahmad Aysar Hadi untuk membolehkan Malaysia kembali dalam perlawanan itu.

Bersambung babak kedua, Thailand lebih menguasai permainan, selain mencipta beberapa peluang namun gagal merobek gawang Malaysia.

Peluang keemasan Malaysia hadir pada minit ke-88 dan sepatutnya mampu menghasilkan gol apabila empat pemain skuad negara hanya berdepan seorang pertahanan tuan rumah dan penjaga gol.

Namun begitu, keputusan Fergus Tierney memilih untuk melakukan rembatan berjaya ditepis Chommaphat Boonloet.

Menerusi satu serangan balas pantas, Khamyok sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring menerusi rembatan dalam kotak penalti untuk memberi kemenangan kepada tuan rumah pada penghujung permainan.

Untuk rekod, Malaysia memulakan saingan dengan tewas 1-0 kepada Lebanon, sebelum bangkit menewaskan Mongolia 7-0.

Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Arab Saudi, tahun depan.-UTUSAN





Source link