Masihkah anda ingat laporan kami tiga tahun lalu mengenai mesin basuh manusia yang akan diperlihatkan di Expo 2025 Osaka. Ia dibangunkan oleh firma Science sebagai menyambut ulang tahun ke-55 prototaip mesin basuh manusia diperlihatkan di Expo 1970 Osaka. Di tapak expo, pelawat boleh mencuba mesin basuh manusia ini sekiranya berani. Pada asalnya ia sekadar prototaip tetapi Science kini berkata 6 unit telah dipesan oleh pelanggan di Jepun.

Mirai Ningen Sentakki yang bermaksud Mesin Basuh Manusia Masa Depan mula dipamerkan sejak bulan Jun lalu. Ia membasuh badan manusia dalam masa 5 minit sahaja dengan pengguna duduk dalam kedudukan berbaring. Di peringkat awal badan manusia akan direndam sebelum sistem pancuran dan semburan air sabun akan membersihkan kotoran di badan.

Semasa duduk di dalam pod pembersihan, pengguna akan ditayangkan video dan muzik yang menenangkan jiwa. Nadi akan dijejak oleh Mirai Ningen Sentakki untuk melihat tahap stres. Selepas kitaran membersih lengkap, air akan dikeluarkan daripada kebuk dan pengguna boleh keluar untuk mengeringkan bada.
Science tidak menyebut nama enam pelanggan pertama dan sekadar kata ia adalah pengusaha hotel dan spa. Harga jualan turut dirahsiakan tetapi Science mendedahkan kos membina prototaip Mirai Ningen Sentakki menelan belanja 100 juta Yen (~RM 2.78 juta). Sekiranya anda jenis malas mandi, anda boleh ke negara kelahiran Doraemon untuk mencuba mesin basuh manusia komersial pertama dunia.






