PARLIMEN | Sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 (PSB) dalam kalangan pihak berkepentingan, termasuk oleh peserta Kongres Perancangan Kebangsaan, semakin meningkat selepas libat urus semula dijalankan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2026, Nga berkata kongres selama dua hari yang berakhir hari ini telah menarik penyertaan lebih 5,000 hadirin.
“Kerajaan Madani sentiasa cakna terhadap suara rakyat dalam memastikan inklusiviti untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Ini (penangguhan) bagi membolehkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan libat urus yang lebih berfokus dan holistik untuk draf RUU PSB diperkemaskan lagi,” katanya, merujuk penangguhan bacaan kedua RUU itu yang pada asalnya dijadualkan pada 28 Ogos lalu.
“Sejak bacaan kedua ditangguhkan, libat urus telah diadakan bersama kerajaan Kedah dan Terengganu, Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Majlis Peguam, parti-parti politik dan tentunya rakyat sendiri yang menjadi keutamaan untuk PSB ini.
“Sukacita dimaklumkan bahawa Kongres Perancangan Kebangsaan pada 28 dan 29 Oktober 2025 yang dihadiri seramai 5,000 orang telah bersetuju untuk menyokong penuh RUU PSB yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini,” katanya lagi.
Proses semakan menyeluruh
Nga berkata demikian ketika menjawab Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya) dan Wan Razali Wan Nor (PN–Kuantan), yang membangkitkan isu berkaitan RUU PSB semasa perbahasan.
Menurut Nga, kementeriannya juga menerima satu ketetapan daripada Umno yang mengandungi 14 cadangan bagi menambah baik RUU tersebut.
“Perlu ditegaskan berkali-kali bahawa RUU PSB telah menjalani proses semakan yang menyeluruh, melibatkan 122 libat urus termasuklah pembentangan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi (JKPK) sebanyak tiga kali pada 17 Oktober 2024, 13 Ogos 2025 dan 2 Oktober 2025,” katanya lagi.
RUU PSB dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu. Ia menerima kritikan meluas, khususnya daripada pembangkang, yang menyifatkannya akan meminggirkan orang Melayu.
Susulan itu, bacaan kali kedua ditangguhkan dan kerajaan berjanji untuk meneliti semula kandungannya.
Awal bulan ini, Nga menyatakan kesediaannya untuk menangguhkan pembentangan bacaan kali kedua sehingga selesai perbahasan dan penggulungan Belanjawan 2026.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden






