Seorang atlet paralimpik yang membawa nama negara di pentas dunia tidak seharusnya terpaksa menggunakan media sosial untuk memperjuangkan haknya dan mendapatkan perhatian masyarakat.
Naib Presiden PKR Jimmy Puah berkata apabila berlaku sedemikian, ia menunjukkan integriti dan sistem pengurusan dalam organisasi sukan kita telah runtuh.
Ahli Parlimen Tebrau itu mengulas pengalaman pahit yang dihadapi oleh wira badminton paralimpik Malaysia Cheah Liek Hou selepas kejayaannya memenangi pingat emas di Paris tahun lepas.
“Sebuah organisasi sukan yang berfungsi dengan betul tidak sepatutnya menunggu tekanan awam sebelum ‘berlakon’ mengadakan majlis penyampaian hadiah.
“Lebih tidak wajar apabila mereka dengan mudah menyalahkan ‘penaja menarik diri’ sebagai alasan memotong ganjaran atlet.
“Harus ditekankan: ini bukan isu kewangan, tetapi isu nilai; bukan kekurangan dana, tetapi kekurangan penghormatan,” kata Puah dalam teguran pedasnya terhadap Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Kenyataan Puah itu dibuat susulan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengecam MPM kerana mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Cheah berhubung aduan awamnya terhadap majlis itu kerana kelewatan memberi insentif tunai RM60,000 selepas memenangi pingat emas.
Presiden MPM Megat D Shahriman Zaharudin berkata sekiranya Cheah didapati bersalah oleh jawatankuasa tatatertib majlis itu, dia boleh digantung seumur hidup daripada menyertai acara pelbagai sukan.
Dia berkata ini kerana MPM mempunyai kuasa untuk mendaftarkan atlet bagi menyertai acara seumpama itu.
Megat juga mendakwa bahawa jumlah RM60,000 tidak dijanjikan kepada Cheah, sambil menambah kenyataan terbuka atlet itu telah merosakkan kredibiliti Cheah sekaligus menghalang penajaan masa depan.
Puah berkata walaupun MPM adalah sebuah badan sukan bebas yang berdaftar, bukan secara langsung di bawah kerajaan atau Kementerian Belia dan Sukan, ia telah menunjukkan kegagalan yang serius dalam mengendalikan sumber awam dan perkara berkaitan atlet negara.
Dia menyeru kepimpinan tertinggi MPM untuk memohon maaf kepada Cheah dan rakyat Malaysia, serta memberikan penjelasan penuh tentang ke mana wang ganjaran itu dan bagaimana keputusan dibuat.
“Mana-mana pihak yang cuba memanipulasi, menutup kelemahan, atau mengalihkan tumpuan hakikatnya terlibat dalam penghinaan kolektif terhadap wira negara kita.
“Lebih-lebih lagi, cubaan mempolitikkan isu ini dan menyalahkan kerajaan adalah tidak bertanggungjawab, kerana kerajaan persekutuan telah menyalurkan sepenuhnya ganjaran kepada pemenang sebaik sahaja temasya berakhir.
“Masalah ini jelas berpunca daripada sebuah badan bebas yang kurang integriti dan pengawasan. Sebuah institusi yang gagal menghormati keringat dan pengorbanan atlet, tidak layak untuk terus mengurus urusan berkaitan wakil negara,” tambahnya.
Puah berkata, jika MPM tidak dapat melakukan pembaharuan dan memperbaiki kelemahannya, rakyat berhak untuk menuntut kepimpinannya berundur dan memberi laluan kepada individu yang mempunyai keupayaan dan wawasan sebenar untuk memulihkan keadaan.
“Atlet paralimpik bukan kumpulan pinggiran. Mereka juga bukan golongan yang hanya perlu ‘dipuji sekadar syarat’.
“Mereka adalah kebanggaan negara dan lambang semangat Malaysia yang sebenar. Mereka layak mendapat penghormatan tertinggi — bukan kekecewaan terdalam.
“Sukan bukan sekadar menang atau kalah di gelanggang. Ia adalah cermin kepada sistem dan nilai negara. Kita tidak boleh biarkan cermin ini pecah, dan lebih-lebih lagi tidak boleh biarkan atlet memikul serpihan kaca itu sendirian,” katanya.
Pada 13 Sept, Yeoh berkata perkara itu telah diselesaikan, memberi jaminan bahawa Cheah akan dibayar insentif RM60,000 dalam masa terdekat.
Menteri itu berkata dia telah diberi penjelasan oleh MPM dan pertubuhan itu sudah menetapkan tarikh untuk Cheah menerima insentif berkenaan.






