Malaysia Oversight

Mahkamah tolak saman Rahim terhadap pemimpin DAP, Malaysiakini

By MkiniBM in November 14, 2025 – Reading time 3 minute
Mahkamah tolak saman Rahim terhadap pemimpin DAP, Malaysiakini


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee, Malaysiakini dan empat yang lain.

Rahim memfailkan saman itu pada 2020 berhubung artikel yang ditulis oleh Lee bertajuk “Khianat jika Rahim diterima masuk Bersatu – Pemuda DAP” yang diterbitkan di laman web DAP dan dilaporkan oleh portal berita itu pada 16 Dis 2018, sebagai respons kepada permohonan Rahim untuk menyertai Bersatu pada masa itu.

Bekas ketua menteri itu mendakwa Lee memfitnahnya dengan mengaitkannya dengan dua skandal dalam artikel komentar tersebut, iaitu skandal rogol pada 1994 melibatkan seorang remaja, di mana DAP telah secara terbuka menarik balik dan memohon maaf atas dakwaan itu pada 2003, serta skandal trio Datuk T pada 2011.

Rahim menamakan Lee dan Mkini Dotcom Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua, diikuti oleh Steven Gan, yang merupakan ketua editor Malaysiakini pada masa itu, dan pemimpin DAP, Tan Kok Wai, Gobind Singh dan Lim Guan Eng sebagai defendan ketiga hingga keenam.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak saman itu setelah mendapati bahawa walaupun kenyataan yang dipertikaikan ada unsur fitnah ringan, defendan berjaya menegakkan pembelaan berupa justification (pembelaan berdasarkan fakta benar), fair comment (komen adil) dan neutral reportage (laporan neutral).

Dia juga menganugerahkan kos sebanyak RM75,000 kepada Lee, Tan, Gobind dan Lim, manakala Malaysiakini dan Gan turut dianugerahkan kos RM75,000.

“Mahkamah berpendapat bahawa tajuk penerbitan dengan jelas menunjukkan pendapat dan komen politik mengenai perkara kepentingan awam.

“Mahkamah menerima pembelaan (Lee) mengenai fair comment yang melindungi (portal berita) yang menerbitkan artikel pendapat yang jelas.

“Bukti menunjukkan artikel itu jelas merupakan pandangan Lee sendiri, yang diterbitkan oleh Malaysiakini dan ketua editornya tanpa mengubah atau menokok tambah kenyataannya, serta mengenal pasti beliau dan jawatannya,” katanya dalam penghakiman bertulis 51 muka surat,” katanya dalam penghakiman bertulis sepanjang 51 muka surat.

Dia menambah bahawa artikel yang diterbitkan di Malaysiakini dan laman web DAP sememangnya merupakan pandangan yang disuarakan oleh Lee sendiri.

Menurutnya mahkamah tidak melihat sebarang niat jahat (malice) di pihak Malaysiakini dan Gan, serta menerima hujah mereka bahawa tuntutan Rahim terhadap mereka disasarkan secara terpilih untuk menimbulkan masalah dari segi kos, gangguan atau kepentingan komersial.

Mengenai kenyataan yang dipertikaikan, Roz Mawar mendapati bahawa kata-kata yang didakwa fitnah oleh Rahim hanya membawa maksud ringan, iaitu menggambarkannya sebagai individu tidak bermoral, dikaitkan dengan skandal serius dan tidak layak memegang jawatan awam.

“Bagaimanapun, tiada tanggungjawab diperlukan kerana pembelaan berdasarkan fakta benar (justification) berjaya terhadap maksud ringan, dan fair comment melindungi pendapat yang dinyatakan mengenai perkara kepentingan awam.”

“Bagi defendan kedua dan ketiga, prinsip laporan neutral (reportage) terpakai. Niat jahat tidak dapat dibuktikan, dan kelewatan menimbulkan beberapa kebimbangan dari segi proses.

“Oleh itu, walaupun (kata-kata yang dipertikaikan) sebenarnya bersifat fitnah, pembelaan yang wajar berjaya dilaksanakan,”katanya.

Peguam Sangeet Kaur Deo dan Kee Hui Yee masing-masing mewakili Lee dan Malaysiakini, manakala Choo Shi Jin dan Harel Nieryan Abu Bakar mewakili Rahim.

Penghakiman penting

Lee, dalam satu kenyataan selepas penghakiman, berkata keputusan itu penting kerana ia menegaskan bahawa sejarah tidak boleh dipadamkan, perbincangan awam mesti bebas daripada ugutan, dan komen politik yang dibuat secara bertanggungjawab dan benar dilindungi oleh undang-undang.

“Dengan keputusan ini, keadilan telah ditegakkan dan rekod sejarah dipelihara.

“Nama saya telah dibersihkan daripada tuduhan fitnah, dan kebenaran kenyataan yang dipertikaikan telah diiktiraf oleh mahkamah.

“Kami tetap komited untuk mempertahankan kebebasan bersuara, kewartawanan bertanggungjawab, dan hak rakyat agar pemimpin politik bertanggungjawab terhadap kebenaran.”



Source link