Malaysia Oversight

Mahkamah tolak saman bekas pelajar berkaitan isu buli

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan seorang bekas pelajar sekolah menengah pendidikan khas yang menuntut ganti rugi dan perintah deklarasi berhubung dakwaan buli serta kegagalan menyediakan pendidikan khas sewajarnya.

Perayu, yang kini berumur 27 tahun, telah didiagnosis menghidap gangguan hiperaktif kurang perhatian (ADHD) dan sindrom Asperger.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan itu selepas memutuskan bahawa perayu gagal membuktikan kes terhadap sekolah terbabit, pengetuanya, Malaysia dan Kementerian Pendidikan.

Menerusi saman yang difailkan pada 2017 melalui ibu angkatnya, perayu mendakwa kesemua responden telah melanggar tanggungjawab masing-masing sehingga menyebabkan dia menjadi mangsa serangan fizikal dan lisan ketika berada di sekolah.

Melalui alasan penghakiman setebal 44 muka surat yang dimuat naik di laman sesawang badan kehakiman semalam, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah tinggi pada Februari 2023 yang menolak saman itu.

Mohd Nazlan, yang menulis penghakiman itu, berkata tiada bukti yang mencukupi bagi menunjukkan bahawa responden gagal memastikan pendidikan dan kemudahan pembelajaran sewajarnya disediakan untuk perayu.

Beliau berkata perayu juga gagal membuktikan dakwaan berlaku insiden buli berdasarkan imbangan kebarangkalian dan kejadian sebenar serangan fizikal serta lisan terhadapnya.

Hakim itu berkata perayu sendiri tidak memberi keterangan dalam kes itu manakala bukti yang dikemukakan oleh ibu angkatnya adalah bersifat khabar angin dan tidak boleh diterima oleh mahkamah.

“Kes perayu berhubung insiden ini tidak boleh diterima kerana individu yang didakwa mengganggu serta menyerang pelajar itu tidak dinamakan sebagai pihak dalam saman ini atau disepina untuk memberi keterangan sebagai saksi,” katanya.

Beliau berkata perbuatan membuli tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat sivil namun bukti dalam kes ini tidak mencukupi bagi menunjukkan bahawa perayu telah menjadi mangsa.

“Dalam kes ini, bukan kami tidak simpati dengan masalah dan kesukaran yang dihadapi oleh perayu… perselisihan faham dan pertengkaran mungkin berlaku terutama antara perayu dan individu yang disebut sebagai H namun mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta serta bukti,” katanya.

Beliau berkata tidak dinafikan bahawa pihak sekolah termasuk guru dan kakitangannya adalah bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar ketika mereka berada dalam kawasan sekolah.

Bagaimanapun, Mohd Nazlan berkata pelanggaran tanggungjawab itu tidak dibuktikan dalam kes ini.

Menerusi pernyataan tuntutan, perayu yang didiagnosis menghidap ADHD pada usia empat tahun, telah mendakwa dia dibuli beberapa kali oleh pelajar lain ketika berada di asrama seperti diludah semasa bersolat, diikat pada katil, ditendang serta dipukul selain barang-barangnya dicuri.

Dia mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah meskipun sudah berulang kali aduan dibuat.

Pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Julai 2017 pula menyebut bahawa penempatan pelajar terbabit adalah dibuat berdasarkan pilihan perayu dan ibu angkatnya semasa pendaftaran.

– Bernama



Source link