Malaysia Oversight

Mahkamah tolak permohonan perintah larang Albert ‘malukan’ Hajiji

By MkiniBM in September 25, 2025 – Reading time 3 minute
Mahkamah tolak permohonan perintah larang Albert ‘malukan' Hajiji


Mahkamah Rasuah Kota Kinabalu menolak permohonan ‘gag order’ (perintah larangan bersuara) yang dikemukakan terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, bagi menghalangnya daripada membuat kenyataan yang dikatakan boleh ‘memalukan’ Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Permohonan itu dibuat secara lisan oleh peguam bela Ram Singh semasa pengurusan kes pra-perbicaraan semalam di hadapan hakim Jason Juga.

Ram mewakili Sidumin, Yusof Yaacob dan Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dalam kes rasuah mereka yang didakwa bersama Tei.

Selain daripada isu ‘memalukan’ Hajiji, peguam Tei, Edward Paul, berkata ‘gag order’ itu turut bertujuan menghalang Tei daripada ‘memalukan’ pihak lain yang ada kaitan dengan Hajiji, yang telah disebut dalam sidang media sebelum ini, serta sesiapa sahaja yang difikirkan oleh Tei sebagai menentangnya.

“Dalam hal ini, gag order hanya boleh dikeluarkan oleh mahkamah untuk menghalang Tei daripada membuat kenyataan prejudis kepada umum mengenai kes terhadapnya, dengan tujuan melindungi integriti prosiding jenayah yang sedang berjalan.

“Membuat kenyataan mengenai tiga kumpulan yang disebut dalam permohonan itu sama sekali tidak menjejaskan proses perbicaraan jenayah.

“Sebaliknya, ini adalah permohonan untuk perintah menyeluruh bagi menghalangnya daripada menyebut apa-apa tentang Ketua Menteri, mana-mana individu lain yang disebut dalam sidang media terdahulu dan, lebih menarik, sesiapa sahaja yang difikirkan olehnya sebagai musuh.

“Permohonan ini terlalu luas, subjektif dan jelas satu percubaan untuk menyalahgunakan proses mahkamah,” kata Edward pada satu kenyataan.

Edward berkata mahkamah bukanlah saluran yang tepat untuk menyekat seseorang daripada bersuara tentang individu lain yang bukan pihak dalam perbicaraan jenayah yang sedang berlangsung.

Katanya permohonan sebegitu juga bercanggah dengan kebebasan bersuara Tei yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah membuat keputusan yang tepat dengan menolak permohonan itu atas alasan ia tidak menjejaskan proses mahkamah,” katanya.

Tei, 37, didakwa bersama Yusof, 69, dan Andi, 44, pada 30 Jun di Mahkamah Rasuah berhubung dakwaan pembayaran wang tunai berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral. Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah.

Menurut kertas pertuduhan, Yusof didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023, manakala Andi dituduh menerima wang tunai RM150,000 daripada Tei pada 12 Mei 2023, di luar rumahnya.

Tei pula menghadapi pertuduhan menawarkan rasuah kepada kedua-dua itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama semalam, hakim Jason membenarkan permohonan Yusof dan Andi untuk mendapatkan semula pasport mereka bagi perjalanan ke luar negara, dengan syarat mereka memaklumkan pegawai penyiasat mengenai rancangan perjalanan dan mengembalikan pasport pada atau sebelum 23 Januari 2026.

Hakim turut menetapkan 24 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes Tei.

Pada sidang medianya selepas prosiding mahkamah semalam, Tei menuduh SPRM melindungi ‘tikus’ yang membocorkan keterangan sulitnya kepada Hajiji.

Katanya dia telah membuat dua laporan — satu kepada polis di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat sulit, dan satu lagi kepada SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Tei mendakwa kebocoran itu menunjukkan wujud campur tangan daripada Hajiji dalam siasatan SPRM dan dia tidak lagi akan bekerjasama dengan agensi itu sehingga isu kebocoran diselesaikan.

[Baca berita asal]



Source link