Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda semakan kehakiman bagi memasukkan bukti tambahan yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Bekas perdana menteri itu memohon untuk memasukkan bukti tambahan berkaitan afidavit anak Najib iaitu Datuk Mohd Nizar, iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Jan lepas yang menyokong kewujudan dokumen tambahan berkenaan.
Hakim Alice Loke Yee Ching ketika membacakan keputusan berkenaan berkata permohonan pindaan bukan sekadar bertujuan mengemas kini fakta, sebaliknya mewujudkan tindakan undang-undang baharu.
“Sebaliknya, terdapat dakwaan baharu cuba dimasukkan melalui fakta ini, sedangkan perkara tersebut telah digantikan dengan pemberian kebenaran (bagi semakan kehakiman) untuk membolehkan perkara ini dinyatakan, yang menuntut jawapan daripada responden dan jelas boleh memprejudiskan mereka.
“Bagi hal menyentuh fakta, kedua-dua afidavit Mohd Nizar yang telah dibenarkan untuk dimasukkan sebagai keterangan adalah memadai. Justeru, enclosure 98 (permohonan untuk pindaan) ditolak,” katanya.
Sementara itu, mahkamah turut menolak permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menghalang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan permohonan semakan difailkan Najib.
“Saya berpendapat pengeluaran perintah larangan (gag order) tidak akan mengundang risiko nyata terhadap keadilan perbicaraan,” katanya, sambil menambah banyak pihak telah mengulas isu berkaitan semakan kehakiman berkenaan.
Hakim berkata sudah wujud langkah alternatif untuk menangani kebimbangan yang menjadi asas permohonan perintah larangan berkenaan.
“Terdapat undang-undang yang boleh diambil dan diguna pakai berkaitan fitnah dan penghinaan mahkamah. Secara keseluruhannya, saya mendapati tiada keperluan untuk mendapatkan perintah gag order, jadi permohonan ini ditolak,” katanya, yang kemudiannya memerintahkan AGC membayar kos RM20,000 kepada Najib.
Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
– Bernama