Malaysia Oversight

Mahkamah tolak permohonan k’jaan tangguh bayar RM1.1 juta pada ibu Ivana Smit

By MkiniBM in November 13, 2025 – Reading time 2 minute
Mahkamah tolak permohonan k'jaan tangguh bayar RM1.1 juta pada ibu Ivana Smit


Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada ibu Ivana Esther Robert Smit dalam kes saman berkaitan kes kematian model warga Belanda itu yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lepas.

Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan mendepositkan jumlah ganti rugi bersama faedah terkumpul ke dalam akaun amanah selewat-lewatnya hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan membayar kos sebanyak RM8,000 kepada Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen iaitu ibu Ivana Smit.

Prosiding itu dihadiri peguam Datuk SN Nair yang mewakili Verstappen dan Peguam Kanan Persekutuan Siti Aishah Ramlan mewakili kerajaan.

Ibu model itu telah menyaman Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia atas dakwaan melanggar kewajipan statutori serta cuai dalam siasatan berhubung punca kematian anak perempuannya.

Pada 29 Julai lepas, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, ganti rugi teruk (RM300,000) dan ganti rugi teladan (RM300,000) selain kos berjumlah RM100,000 kepada Verstappen.

Roz Mawar turut mengarahkan Ketua Polis Negara supaya menggugurkan Faizal daripada pasukan petugas semasa dan memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memulakan kembali siasatan berhubung kematian Ivana Smit seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi pada 2019 terhadap keputusan Mahkamah Koroner.

“PDRM diarah memberi taklimat perkembangan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bermula tarikh penghakiman ini (29 Julai) manakala AGC perlu menentukan sama ada bukti dikumpul mencukupi serta menetapkan tindakan lanjut yang perlu diambil,” katanya.

Menerusi saman yang difailkan pada 20 Nov 2020, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah unit kondominium milik pasangan warga AS iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.

Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana Smit adalah disebabkan oleh misadventure atau nahas.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Verstappen merayu kepada Mahkamah Tinggi dan pada 22 Nov 2019, Hakim Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan “kematian yang disebabkan oleh individu atau beberapa individu yang tidak dikenali”, dan memerintahkan Peguam Negara mengarahkan polis untuk memulakan siasatan.

– Bernama



Source link