Malaysia Oversight

Mahkamah Thai pecat PM Paetongtarn sebab langgar etika

By MkiniBM in August 29, 2025 – Reading time 1 minute
Mahkamah Thai pecat PM Paetongtarn sebab langgar etika


Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini menyingkirkan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan atas pelanggaran etika – hanya selepas setahun berkuasa – sekali gus menjadi tamparan terbaru buat dinasti politik keluarga Shinawatra, lapor Reuters.

Menurut laporan itu, Paetongtarn – kini menjadi perdana menteri keenam daripada keluarga jutawan tersebut, sama ada memimpin atau disokong mereka, yang disingkirkan tentera atau badan kehakiman dalam perebutan kuasa lebih dua dekad antara elit politik Thailand.

Mahkamah dalam keputusannya menyatakan Paetongtarn melanggar etika dalam satu panggilan telefon yang bocor pada Jun lalu, ketika dia dilihat tunduk kepada bekas pemimpin Kemboja Hun Sen.

Ketika itu, kedua-dua negara berada di ambang konflik bersenjata sempadan. Pertempuran akhirnya meletus beberapa minggu kemudian dan berlarutan selama lima hari, menurut Reuters.

Keputusan itu membuka jalan kepada parlimen untuk memilih perdana menteri baharu – satu proses yang dijangka mengambil masa panjang.

Parti pemerintah Pheu Thai pimpinan Paetongtarn kini kehilangan kuasa tawar-menawar dan berdepan cabaran mempertahankan gabungan rapuh dengan majoriti tipis, kata laporan Reuters lagi.

Keputusan mahkamah ini sekali gus menamatkan awal penggal pemerintahan anak perempuan serta pelapis tokoh berpengaruh Thaksin Shinawatra.

Paetongtarn, 39, merupakan pendatang baru politik yang naik mendadak menjadi perdana menteri paling muda di Thailand selepas mahkamah sama menyingkirkan pendahulunya, Srettha Thavisin, setahun lalu.



Source link