Malaysia Oversight

Mahkamah Rayuan kekal keputusan lucut hak kereta isteri bekas Adun

By MkiniBM in July 17, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak sebuah kereta Proton X70 bernilai RM115,000 milik isteri bekas Ladang di Terengganu, Aida Tengah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Ahmad Fairuz Zainl Abidin dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Aida, 50, selepas mendapati pendakwa raya selaku responden memenuhi beban pembuktian mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Aida ialah isteri kepada Tengku Hassan Tengku Omar yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu dan Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan negeri itu.

Ahmad Fairuz yang membacakan keputusan hari ini berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan mahkamah rendah (Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu) bahawa prosiding perlucuthakan di bawah Seksyen 41(1) SPRM adalah bersifat in-rem (permohonan terhadap harta) dan bukannya personal.

Katanya responden juga berjaya membuktikan atas kebarangkalian bahawa kereta berkenaan adalah hal berkaitan kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan kesalahan menerima harta alih di bawah seksyen 165 kanun sama.

Berkenaan kesalahan pecah amanah, Ahmad Fairuz berkata adalah jelas bahawa ahli Lembaga Pengarah Hygenia Sdn Bhd, Abdul Ahad Khan, diamanahkan dengan wang pelaburan berjumlah RM3.8 juta tanpa kebenaran untuk digunakan sebagai kegunaan peribadi, dan sebanyak RM115,000 daripada wang itu telah digunakan untuk membeli kereta yang didaftarkan atas nama perayu (Aida).

Hakim itu berkata penjawat awam menerima hadiah berharga adalah jelas suami perayu (Tengku Hassan) selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu (ketika itu), manakala Abdul Ahad ada urusan rasmi dengan jawatan suami perayu.

“Penerimaan kereta itu oleh perayu melalui suaminya suatu hadiah berharga tanpa balasan yang mencukupi yang diterima penjawat awam daripada seorang yang mempunyai urusan rasmi.

“Oleh demikian, kami menolak rayuan ini dan mengekalkan perintah perlucuthakan yang dibuat Mahkamah Sesyen (Kuala Terengganu) yang dikekalkan Mahkamah Tinggi (Kuala Terengganu) dan kereta Proton X70 hendaklah dilucut hak kepada Malaysia,” katanya.

Pada 8 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak kereta terbabit selepas mendapati ia adalah hasil dan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan 165 Kanun Keseksaan.

Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 14 Mac 2024.

Pada prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya Farah Yasmin Salleh dan Muhammad Asraf Mohamad Tahir hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili perayu.

Bernama



Source link