Malaysia Oversight

Mahkamah pulangkan terus pasport lepas Lim dilantik pengerusi Acapicd

By MkiniBM in October 15, 2025 – Reading time 2 minute
Mahkamah pulangkan terus pasport lepas Lim dilantik pengerusi Acapicd


Mahkamah Sesyen hari ini memulangkan semula pasport pemimpin DAP, Lim Guan Eng, secara kekal selepas dia dilantik sebagai pengerusi kehormat Persatuan Asean bagi Promosi Kerjasama dan Pembangunan Industri (Acapicd).

Pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri Ibrahim.

Bagaimanapun, menurut kenyataan di Facebook DAP, Lim masih diwajibkan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang pada minggu pertama setiap bulan.

Lim kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan berkembar di Pulau Pinang yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM3.3 juta sebagai dorongan melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd melaksanakan projek bernilai RM6.34 bilion itu.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa meminta 10 peratus keuntungan projek daripada bekas pengarah syarikat tersebut, Zarul Ahmad Zulkifli, sebagai ganjaran kerana membantu syarikat itu memperoleh projek berkenaan.

Selain itu, Lim turut berdepan dua lagi pertuduhan melibatkan pelupusan tidak jujur terhadap dua lot tanah milik negeri Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai kira-kira RM208 juta kepada pemaju projek terowong itu.

Pihak pendakwaan pada mulanya membantah pemulangan pasport tersebut, malah timbalan pendakwa raya turut mempertikai ketulenan surat pelantikannya.

“Pihak pendakwa membantah permohonan itu dan turut menyatakan bahawa saya mungkin berisiko melarikan diri jika pasport saya dipulangkan secara kekal,” kata kenyataan itu.

Namun, menurut kenyataan itu lagi, tiada sebarang bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut memandangkan dia telah tiga kali mendapat pelepasan pasport sementara dalam tempoh lima tahun, dan mematuhi semua arahan mahkamah setiap kali.

Berhubung pertikaian terhadap surat pelantikannya, peguam bela Lim menyifatkan tuduhan pihak pendakwa itu sebagai “tidak beretika dan tidak masuk akal.”



Source link