Malaysia Oversight

Mahkamah Koroner buka inkues kes kematian doktor 2023

By MkiniBM in October 2, 2025 – Reading time 2 minute
Mahkamah Koroner buka inkues kes kematian doktor 2023


Mahkamah Koroner bersetuju memulakan prosiding inkues berhubung kematian Dr Shintumathi Mutusamy pada 2023, susulan 28 laporan polis serta pelbagai rayuan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkembangan itu dimaklumkan kepada peguam Reenajit Kaur Golen oleh seorang jurubahasa mahkamah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, selepas dia bertanya mengenai perkembangan kes berkenaan.

Jurubahasa itu memberitahu peguam terbabit bahawa kes tersebut telah didaftarkan dan disebut pada pagi ini – butiran yang tidak dimaklumkan kepada keluarga Shintumathi atau barisan peguam mereka.

Menjawab persoalan kenapa mahkamah tidak memaklumkan kepada wakil guaman keluarga, pegawai mahkamah berkata pihaknya tidak mengetahui bahawa polis gagal memaklumkan keluarga mengenai sebutan hari ini.

97fe02544bb5ebd5501698e71116a253

“Walaupun saya terkejut pegawai penyiasat tidak memaklumkan sama ada kepada peguam atau keluarga, saya bersyukur prosiding inkues akhirnya telah bermula,” kata peguam Mahajoth Singh (gambar atas) kepada Malaysiakini.

Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 15 Okt, dengan timbalan pendakwa raya Nurul Akhilah Rosmi dijadualkan mengemukakan fakta kes serta senarai saksi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan polis telah merujuk kertas siasatan kematian Dr Shintumathi ke Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 Mei, dengan firma guaman Abd Halim Ushah & Associates dimaklumkan mengenai perkara itu pada 19 Sept.

Mahajoth kemudiannya menulis surat kepada mahkamah pada 23 Sept untuk mendapatkan pengesahan berhubung penerimaan kertas siasatan tersebut, serta perkembangan terkini kes berkenaan.

d5e2e795f4b8f4bcc7eb3b29631dac94

Menurut laporan bedah siasat, Shintumathi disahkan meninggal dunia akibat “inhalation asphyxia by compressed gas and plastic bag” (lemas akibat sedutan gas mampat dan beg plastik), dengan mayatnya ditemui di biliknya di sebuah kondominium di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada 3 Sept, Mahajoth memaklumkan bahawa pegawai perubatan yang menjalankan autopsi menyatakan dalam dokumen berasingan bahawa kematian Shintumathi berlaku dalam keadaan mencurigakan dan tidak semula jadi.

Berdasarkan garis masa peristiwa yang diperincikan dalam surat yang dilihat Malaysiakini, pelbagai usaha telah dibuat untuk mendapatkan keadilan bagi Shintumathi, yang sebelum kematiannya mengusahakan sebuah klinik bersama seorang lagi doktor.

Tempat, tilam berlumuran darah

Ibu Shintumathi juga mendakwa tempat kejadian anaknya ditemui dipenuhi dengan darah serta cecair kuning yang tidak dikenali namun pegawai penyiasat tidak mengutip bahan-bahan itu untuk dianalisis bagi menentukan sama ada terdapat individu lain yang terlibat dalam kes tersebut.

Dia turut menegaskan polis gagal menghantar dua tilam berlumuran darah untuk ujian DNA dan hanya mengambil rakaman CCTV pada hari selepas kematian Shintumathi manakala rakaman beberapa hari sebelumnya didakwa diabaikan.

[Baca berita asal]



Source link