Malaysia Oversight

Mahkamah halang kenyataan menteri pertahanan kes kematian pelatih Palapes

By TheSun in September 18, 2025 – Reading time 1 minute
Mahkamah halang kenyataan menteri pertahanan kes kematian pelatih Palapes


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah interim melarang Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Teknologi Malaysia Skudai Syamsul Haris Shamsudin.

Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas menerima makluman aku janji daripada Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek yang mewakili Menteri Pertahanan dan kementerian berkenaan.

Beliau menetapkan 26 September depan sebagai pengurusan kes untuk prosiding selanjutnya.

“Arahan mahkamah ialah untuk Puan Roziza mendapatkan pengesahan berkenaan aku janji daripada kementerian,” katanya dalam perbicaraan hari ini.

Beliau menambah sementara menunggu pelupusan kes ini, Menteri Pertahanan dan Kementerian Pertahanan Malaysia diberi perintah interim untuk tidak menerbitkan sebarang bentuk kenyataan.

Sebelum ini, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, melalui peguam Datuk Naran Singh, memohon perintah larangan supaya kedua-dua responden tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan di media.

Permohonan itu dibuat sementara menunggu keputusan penuh siasatan polis dan bedah siasat kedua anaknya.

Media sebelum ini melaporkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini mengambil alih sepenuhnya siasatan kes kematian pelatih Palapes UTM Skudai itu.

Tindakan itu diambil selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lepas membenarkan permohonan keluarga Allahyarham untuk menggali semula kubur serta menjalankan bedah siasat kedua.

Syamsul Haris, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat, Ulu Tiram.

Beliau dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Kampung Riching Ulu. – Bernama



Source link