Malaysia Oversight

Mahkamah Bangladesh arah siasat semula sindiket hantar pekerja ke Malaysia

By MkiniBM in November 8, 2025 – Reading time 3 minute
Mahkamah Bangladesh arah siasat semula sindiket hantar pekerja ke Malaysia


Mahkamah Tinggi Dhaka di Bangladesh membatalkan laporan akhir yang dikemukakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (CID) terhadap 103 individu yang didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia, penipuan, pemerasan dan pengubahan wang haram berkaitan penghantaran tenaga kerja ke Malaysia.

Ketika dihubungi peguam kepada pengadu Altaf Khan, Md Rafiqul mengesahkan keputusan mahkamah itu kepada Malaysiakini.

“Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pada 30 Oktober dan 2 November, termasuk di Mahkamah Khas Pencegahan Pemerdagangan Manusia.

“Dalam keputusan yang dibuat Ahad lalu, Mahkamah Sesyen Metropolitan Dhaka mengarahkan pihak polis untuk menjalankan siasatan semula terhadap kes berprofil tinggi itu.

“Keputusan mahkamah ini membuka jalan kepada keadilan sebenar,” katanya secara ringkas.

Altaf, seorang ahli perniagaan, membuat laporan polis pada 3 Sept tahun lepas di balai polis Paltan, Bangladesh terhadap 103 individu yang didakwa menggelapkan RM8.36 bilion melalui sindiket terancang.

Antara nama besar dalam laporan itu adalah bekas menteri Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh, Imran Ahmed, bekas setiausaha kanan Ahmed Munirus Saleheen dan bekas ahli parlimen Nizam Uddin Hazari.

Sementara ahli politik dan Leftenan Bersara Jeneral Masud Uddin Chowdhury, Benjir Ahmed dan Kashmiri Kamal bersama anak perempuannya Nafisa Kamal, isteri dan anak perempuan bekas menteri kewangan AHM Mustafa Kamal turut didakwa terlibat.

Sekurang-kurangnya 100 pemilik agensi pengambilan pekerja asing Bangladesh (BRA) juga dinamakan dalam laporan itu.

Bagaimanapun, sebelum ini CID negara itu yang menyiasat kes berkenaan mencapai kesimpulan ‘tiada bukti’ dalam laporan akhirnya berhubung dakwaan mengenai sindiket itu.

Altaf mendakwa laporan akhir yang disediakan CID adalah “direka dan berat sebelah” akibat pengaruh pihak tertuduh.

Dia turut memohon kepada mahkamah untuk memfailkan petisyen tidak percaya terhadap keputusan siasatan sebelum ini dan meminta siasatan semula.

Untuk rekod, penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia disambung semula pada Ogos 2022 selepas hampir enam tahun tergendala.

9e20803b2df1aa0dededb186062d89fe

Namun, pada Mei 2025, selepas lebih 476,000 pekerja dihantar, program itu dihentikan menyebabkan 17,000 lagi pekerja berlesen tidak dapat berlepas.

Malaysia ketika itu hanya memberi kebenaran kepada 25 agensi Bangladesh untuk menghantar pekerja kumpulan yang kemudian dikenali sebagai “sindiket” yang dikatakan mempunyai kaitan dengan empat bekas menteri dan ahli parlimen Bangladesh.

Walaupun Bangladesh menetapkan kos rasmi pada 79,000 taka (sekitar RM3,400) setiap pekerja, pekerja mendakwa mereka dipaksa membayar sehingga 544,000 taka (sekitar RM23,000) seorang.

Daripada jumlah itu, kira-kira 142,000 taka dikutip oleh ejen di Bangladesh dan 150,000 taka lagi oleh pihak sindiket di Malaysia bagi setiap visa.

Pada Julai, Malaysiakini melaporkan Bangladesh bersetuju untuk menghentikan siasatannya terhadap dakwaan sindiket mengeksploitasi warganya yang ingin bekerja di Malaysia, atas arahan Malaysia.

Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan dikenali, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat di Kuala Lumpur pada 17 Julai antara wakil kerajaan Bangladesh dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma).

“Dua pegawai – setiausaha khas dan pembantu khas kepada ketua penasihat kerajaan Bangladesh – melawat Malaysia dan mengadakan pertemuan dengan pegawai kementerian.

“Dalam mesyuarat itu, wakil Bangladesh bersetuju untuk menghentikan siasatan supaya Malaysia boleh menyambung semula pengambilan pekerja Bangladesh,” kata pegawai itu.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa mesyuarat itu diadakan selepas kerajaan Malaysia menghantar surat kepada Bangladesh, menggesa siasatan dihentikan atas alasan ia tidak berasas.

Surat itu, bertarikh 23 April 2025, dihantar oleh pegawai kanan Kesuma kepada rakan pegawai kanan Kementerian Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Ekspatriat Bangladesh.

Kesuma menafikan mengadakan perjumpaan rasmi dengan wakil Bangladesh. Namun, kementerian itu enggan mengulas surat kementerian itu kepada Bangladesh.



Source link