Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador diberikan ganti rugi sivil berjumlah RM550,000 dalam saman fitnahnya terhadap Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan Youtuber, Nurpais Ismail.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Apandi, yang menyampaikan penghakimannya pagi tadi, mendapati defendan telah mengeluarkan kenyataan memfitnah Farhash dalam satu audio siar (podcast) yang diterbitkan di laman Youtube Nurpais pada Mei tahun lalu.

Mahkamah dalam keputusannya menyatakan bahawa tuntutan fitnah Farhash terhadap kedua-dua individu tersebut tidak dicabar, memandangkan Chegubard dan Nurpais tidak memasukkan kehadiran. Ini mendorong mahkamah untuk meneruskan pendengaran kes tanpa pembelaan mereka pada 12 Januari tahun ini.
“Bagi ganti rugi am, (selepas mengambil kira) keterukan dakwaan, tahap penyebaran, kedudukan plaintif dalam masyarakat, serta keperluan untuk pembersihan nama, saya menetapkan ganti rugi am sebanyak RM300,000.
“Saya dapati ganti rugi teladan juga wajar diberikan kerana kedua-dua defendan menunjukkan sikap tidak peduli yang sinis dan terancang terhadap reputasi plaintif dengan memilih untuk mengeksploitasi dan merosakkan nama baiknya demi kepentingan politik serta komersial mereka sendiri.
“Pemberian ganti rugi teladan adalah perlu bagi menghantar mesej jelas bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan diterima. Oleh itu, saya memberikan ganti rugi teladan berjumlah RM100,000 terhadap kedua-dua defendan secara bersama dan berasingan,” kata Arziah, sambil menambah dia u turut menganugerahkan ganti rugi teruk RM150,000 kepada Farhash.

Pesuruhjaya kehakiman itu juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah penghakiman, yang dikira bermula 26 Mei 2025, iaitu tarikh kes difailkan sehingga ia selesai sepenuhnya.
Arziah juga mendapati defendan telah membuat kenyataan fitnah yang jelas mampu mencemarkan reputasi Farhash dalam pelbagai dimensi kehidupannya.
“Elemen rujukan dipenuhi dalam kes ini. Defendan pertama (Chegubard) telah menamakan plaintif secara eksplisit berkali-kali sepanjang temu bual menggunakan nama yang biasa dikenali iaitu ‘Farhash’.
“Defendan pertama tidak meninggalkan ruang untuk kekaburan dengan memberikan butiran pengenalan khusus termasuk peranan plaintif sebagai (bekas) setiausaha politik dan ‘anak emas’ Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“(Defendan pertama juga mengenal pasti) kedudukan plaintif sebagai bekas pemimpin PKR Perak dan pelantikan korporatnya dalam syarikat senaraian awam. Oleh itu, saya dapati tanpa ragu-ragu bahawa kenyataan fitnah tersebut merujuk secara jelas kepada plaintif,” katanya.
Dia menambah, penglibatan Chegubard dalam temu bual bersama Nurpais menunjukkan niat dan kefahaman defendan pertama bahawa kata-katanya akan disebarkan kepada puluhan ribu penonton. Katanya, temu bual itu bukan perbualan peribadi yang dirakam secara tidak sengaja, tetapi tindakan konfrontasi awam yang disengajakan melalui media massa.
“Defendan kedua (Nurpais) mempunyai kawalan editorial sepenuhnya sama ada mahu menerbitkan kandungan fitnah tersebut atau tidak. Tingkah laku ini bukan sekadar penerbitan pasif kerana beliau mengambil bahagian dalam temu bual dengan mengajukan soalan yang dirancang untuk mencetuskan jawapan berunsur fitnah.






