Malaysia Oversight

MAHB kecewa gangguan terbaru Aerotrain KLIA

By MkiniBM in September 4, 2025 – Reading time 2 minute
MAHB kecewa gangguan terbaru Aerotrain KLIA


Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyatakan rasa kecewa terhadap gangguan perkhidmatan Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu mengakui kebimbangan mengenai gangguan Aerotrain, mengesahkan komitmen syarikat itu terhadap perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan cekap.

“Kami juga kecewa, memandangkan Aerotrain baru sahaja menjalani penyelenggaraan dua minggu berjadual melibatkan semua kontraktor.

“Saya telah difahamkan oleh ketua penyelaras projek Aerotrain, Alstom Transport Systems Malaysia Sdn Bhd (Alstom), bahawa punca kejadian semalam adalah peranti pengumpul arus (CCD) tercabut yang mencetuskan kehilangan kuasa kepada tren.

“Dalam perbincangan berterusan kami, Alstom telah bersetuju untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci mengenai CCD yang tercabut.

“Saya juga telah meminta agar Alstom menyiasat secara menyeluruh dan bekerjasama dengan pasukan kejuruteraan kami sendiri semasa waktu penyelenggaraan tren harian untuk mengenal pasti potensi risiko,” kata Pengarah Urusan MAHB Mohd Izani Ghani.

Perkhidmatan Aerotrain disambung semula semalam selepas kerja-kerja penyelenggaraan yang telah siap antara 18 hingga 31 Ogos.

Namun, pada 1.36 tengah hari, gangguan kuasa menyebabkan salah satu kereta api terhenti sementara.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung berkata Menteri Pengangkutan Anthony Loke harus meletakkan jawatan kerana gangguan perkhidmatan Aerotrain.

Dia berkata terdapat lima gangguan perkhidmatan sejak pelancaran semula Aerotrain pada 1 Julai.

Mengulas mengenai gangguan terbaru itu, dia berkata Loke harus bertanggungjawab atas insiden “memalukan” itu.

“Ditekankan, kegagalan menteri pengangkutan untuk merangka langkah-langkah penyelesaian dan merancang pelan pembaharuan untuk menghadapi gangguan perkhidmatan berterusan ini amat memalukan, kerana ia bukan sahaja menyusahkan para penumpang tetapi juga menjejaskan imej negara.

“Apa gunanya membelanjakan RM456 juta wang rakyat untuk menaik taraf Aerotrain jika ia kerap mengalami kerosakan? Adakah akan terus mengelak tanggungjawab dengan menyalahkan bahagian-bahagian yang berbeza untuk setiap gangguan perkhidmatan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata adalah jelas bahawa isu itu bukan disebabkan oleh kesalahan teknikal, sebaliknya kegagalan Loke sebagai menteri.

“Bagaimana rakyat boleh mengharapkan beliau untuk menguruskan sistem pengangkutan negara sekiranya sistem Aerotrain ini pun tidak diuruskan dengan baik?” katanya.

Aerotrain dilancarkan semula selepas hampir 28 bulan penggantungan kerana kerja-kerja baik pulih yang menelan belanja RM456 juta.

Pemulihan itu menyaksikan penggantian armada dan infrastrukturnya yang sudah usang di bawah Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang MAHB bernilai RM742 juta.



Source link