Dr Mahathir Mohamad – yang sudah lama menjadi punca ‘migrain’ bagi seteru – hari ini kini memberikan petua tentang cara menangani stres.
Dalam video pendek ringkas yang disiarkan di Facebooknya, bekas perdana menteri itu yang berusia lebih 100 tahun ditanya mengenai cara-cara dia menangani tekanan.
“Dalam kehidupan akan sentiasa ada masa kita berada dalam tekanan,” jawab Mahathir.
Dia bagaimanapun menegaskan bahawa setiap masalah akhirnya akan menemui penyelesaian, dan dalam bahasa politik boleh diterjemahkan sebagai seseorang pesaing boleh disingkirkan, atau digulingkan.
“Sudah tentu, apabila anda mengalami tekanan, anda perlu memahami mengapa anda mengalami tekanan dan anda perlu dapat mengatasi masalah tersebut.
“Untuk melakukan itu, anda perlu belajar tentang masalah itu, berunding dengan orang ramai, untuk melihat ‘model’ dan lain-lain, supaya anda tahu apa yang perlu dilakukan dengan masalah itu.
“Apabila anda tahu apa yang perlu dilakukan dengan masalah itu, dan anda mengambil tindakan, tekanan biasanya akan berkurangan,” tambahnya.
Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama selama lebih dua dekad memang tidak asing lagi dengan tekanan, sama ada ke atas dirinya ataupun menyebabkan tekanan kepada orang lain.
Ia dapat dilihat pada perkembangan politik selepas berundur dari parti dan jawatannya pada 2003 sebelum memberi tekanan kepada dua perdana menteri selepasnya.
‘Migrain’ terbarunya bukanlah sesuatu yang baru. Ia bermula sejak 1998 apabila dia memecat Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan Umno.
Kesakitan itu hilang seketika menjelang pilihan raya 2018, apabila Mahathir kembali sebagai perdana menteri. Bagaimanapun ia muncul semula apabila Anwar dibebaskan dari penjara dan menjadi lebih ketara selepas PRU ke-15 pada 2022.
Sejak merealisasikan cita-cita lamanya untuk menjadi perdana menteri, Anwar berkali-kali menyentuh isu kekayaan dianggap luar biasa melibatkan Mahathir anak-anak, dan sekutu rapat mereka.
Mahathir berkali-kali menegaskan kekayaan itu diperoleh secara sah dan menganggap dakwaan dibuat Anwar adalah palsu dan didorong oleh dendam politik.
Sama ada Mahathir – yang kini bersekutu dengan pembangkang – boleh atau tidak mengharungi badai “stres” terbaru sekarang ini seperti yang dilakukannya pada Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, masih belum dapat dipastikan.