Dr Mahathir Mohamad hari ini mengeluarkan notis tuntutan kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah berkaitan isu pemilikan hartanah Umno.
Menurut peguamnya, Rafique Rashid, antara tuntutan bekas perdana menteri itu adalah supaya Zahid untuk mengadakan sidang media terbuka di Ibu Pejabat Umno dan juga Pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 11 April lalu.

“Membuat pengakuan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah yang dituturkan oleh kamu merupakan satu penipuan dan kata-kata tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat termasuk dengan akujanji bahawa kamu dan/atau mana-mana pihak lain yang berkaitan tidak akan sama sekali membuat apa-apa kenyataan dan/atau penulisan dan/atau penerbitan lanjut yang menyentuh berkenaan reputasi, integriti dan kredibiliti anak guam kami,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Zahid diminta untuk membuat permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat kepada Mahathir dan memberi jaminan bahawa dia atau mana-mana pihak berkaitan tidak akan mengulangi kenyataan tersebut.
“Permohonan maaf ini juga perlu disiarkan di akhbar-akhbar utama dan platform media sosial rasmi Zahid selama 30 hari berturut-turut.,” katanya lagi.

Mahathir juga memberi tempoh tujuh hari kepada Zahid untuk memenuhi tuntutan tersebut dan sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil.
Umno pada 11 April lalu mengesahkan terdapat seorang individu yang sebelum ini menjadi pemegang amanah parti masih enggan menandatangani dokumen pelepasan walaupun pemegang amanah lain sudah berbuat demikian.
Zahid mengulas demikian selepas ditanya mengenai tindakan Umno memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.
Presiden Umno itu, bagaimanapun, hari ini menafikan dakwaan dia menuduh bekas perdana menteri itu.
“Saya tidak pernah menyebut nama beliau (Dr Mahathir)… apabila ditanya wartawan, saya hanya sebut seseorang (berhubung status tandatangan untuk pindah milik tanah Umno).
“Jika benar beliau ikhlas, tentunya jika terdapat beberapa masalah teknikal, contohnya seperti ejaan nama dan sebagainya. Ia boleh diperbaiki,” katanya pada sidang media Majlis Santuni Kasih Syawal bersama Masyarakat Orang Asli di Tapah, hari ini.