Kumpulan mahasiswa dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengecam siasatan terhadap rakan-rakan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 selepas menghadiri majlis nyalaan lilin bagi memperingati Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Ahad lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Suara Mahasiswa UMS turut mengecam tindakan parti-parti politik yang didakwa “menjadikan tragedi itu untuk menonjolkan diri sebagai penjaga keamanan”.
“Vigil adalah ruang berkabung dan solidariti, bukan jenayah. Namun pihak berkuasa memilih untuk membungkam suara rakyat dengan undang-undang lapuk, seolah-olah lilin yang kami nyalakan lebih berbahaya daripada budaya buli yang meragut nyawa,” kata kumpulan itu.
Malaysiakini sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan sama ada sebarang tangkapan telah dibuat atau jika pelajar terbabit hanya dipanggil untuk disoal siasat.
Sehingga berita ini ditulis, semakan mendapati hanya seorang pelajar telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis.
Pada 31 Ogos lalu, himpunan “Justice for Zara 2.0” berlangsung serentak dengan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Ketiga-tiga acara itu menarik perhatian ramai, namun himpunan memperingati Zara lebih menonjol dari segi jumlah kehadiran.
Himpunan serentak turut diadakan di Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.

Semalam polis dilaporkan menerima tiga laporan berkaitan himpunan berkenaan yang didakan di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata semua laporan itu berkaitan seorang individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah, Musa Aman.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 dan 505 (b) Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu Suara Mahasiswa UMS menegaskan masyarakat kini gelisah dengan dakwaan bahawa individu yang didakwa membuli Zara mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Jika benar, maka penangkapan rakyat biasa yang hanya menunjukkan solidariti, sedangkan individu yang didakwa terlibat masih bebas, membuktikan wujudnya double standard dalam sistem keadilan negara.
“Hal ini bukan sahaja mencederakan hati rakyat, malah menghakis kepercayaan terhadap institusi yang sepatutnya melindungi kita semua.
“Hari ini Zara, esok siapa? Jika keadilan hanya berpihak kepada elit, maka rakyat hanya tinggal kekuatan untuk bersatu. Suara solidariti tidak boleh dibungkam,” ujar mereka.
Sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Mohd Arifin Mohd Arif yang juga menantu Musa Aman menegaskan dakwaan yang mengaitkan anaknya dengan kematian Zara Qairina adalah tidak benar.
Mohd Ariffin menafikan dia mempunyai anak perempuan bernama Farisha yang didakwa terbabit dalam kejadian itu.
“Saya tidak mempunyai anak bernama sedemikian dan juga (anak) tidak bersekolah di sekolah berkenaan,” katanya
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan sekolahnya pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu. Dia kemudian disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 11 pagi.
Kes berkenaan mendapat perhatian meluas berikutan terdapat dakwaan kematian pelajar itu berunsur buli membabitkan anak-anak menteri, orang kenamaan (VIP) dan individu berpengaruh, sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang ramai.