PARLIMEN | Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, hari ini membangkitkan kebimbangan di Dewan Rakyat berhubung satu latihan yang didakwa dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu — tindakan yang menurutnya seolah-olah mengulang peristiwa Memali 1985.
Takiyuddin (PN-Kota Bharu) mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran.
Tindakan itu, katanya, bukan sahaja menimbulkan ketakutan malah mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah.
“Apabila ditegur oleh orang ramai yang berada disitu mereka menjawab kami polis. Masuk dalam masjid pakai kasut, memasuki kawasan (solat) perempuan dan melakukan penggeledahan dan sebagainya menimbulkan rasa cukup tidak senang dikalangan rakyat yang berada disitu.
“Saya pun ada banyak dokumen dan video yang diambil daripada rakaman CCTV masjid mengenai kejadian itu, sekumpulan orang ini menyerbu ke dalam masjid.

“Apabila pihak pengurusan masjid membuat laporan polis di balai polis Marang, satu dokumen daripada APMM ditemui bertajuk ‘Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan (SERE) Kursus Asas Komando Star Team Seri 1/2025′, disebutkan disini apa yang berlaku itu adalah latihan komando APMM dalam sebuah masjid, tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid. Apa ini,” soal Takiyuddin di Dewan Rakyat, hari ini.
Peristiwa Memali merujuk tragedi berdarah pada 19 November 1985 itu ketika polis cuba memberkas pemimpin PAS Ibrahim Mahmood dan pengikutnya yang mengakibatkan 18 orang terbunuh – 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim manakala empat lagi anggota keselamatan.
BACA BERKAITAN:
PANDUANKINI: Menyelak kembali tragedi berdarah Memali
Takiyuddin menuntut penjelasan terperinci mengenai standard operating procedure (SOP) bagi latihan agensi penguatkuasaan di tempat awam dan rumah ibadat — terutama apabila latihan melibatkan taktik komando.

Dia menegaskan sebarang latihan tanpa notis kepada pengurusan masjid atau komuniti berisiko menimbulkan panik dan ‘fear factor’ serupa Memali 1985, satu peristiwa sensitif dalam ingatan kolektif rakyat.
“Adakah itu SOP KDN? Kalau saya kebetulan berada disitu, kalau saya memiliki atau membawa senjata api yang saya lesen, saya akan, I will open fire, saya akan tembak, kalau itu ancaman yang berlaku dalam sebuah masjid, apakah ini gara-gara ulangan peristiwa Memali tahun 1985? Penyerangan terhadap tempat suci dan rumah ibadat rakyat.
“Ini bukan kerana ianya masjid, kalau ini berlaku dalam satu gereja atau dalam satu tempat pun, kami menentang apakah yang berlaku, apa latihan komando dibuat di tempat ibadat rakyat Malaysia?
“Apa benda latihan komando dibuat didalam rumah ibadat rakyat Malaysia. Nama pun APNM, apa cerita? Pergilah buat latihan di laut. Ini kita cukup pelik, benda-benda pelik di bawah KDN, with due respect.
“Saya mohon perkara-perkara ini diberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada pihak kerajaan,” tegasnya.
Apa niat lokasi latihan di Marang?
Ahli Parlimen Awang Hashim (PN-Pendang) pula membangkitkan kalau latihan itu mungkin mempunyai niat menyerang tokoh tertentu.
Dia menyoal jika terdapat kemungkinan perancangan terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang berada di Masjid Rusila pada masa kejadian.

“Apakah ini perancangan untuk membunuh Presiden PAS yang ada di Masjid Rusila itu,” soalnya.
Takiyuddin bagaimanapun menolak membuat andaian sedemikian, tetapi kekal mempersoalkan mengapa latihan seumpama itu mesti diadakan di Rusila dan bukannya di lokasi latihan khas agensi maritim.
“Kita tidak membuat andaian lah, tetapi kenapa Marang? Kenapa Rusila?
“Kenapa masjid? Ini APMM, bukan komando tentera darat. Kalau latihan komando, buatlah di laut. Ini pelik,” tambahnya.
“Apakah ini perancangan untuk membunuh Presiden PAS yang ada di Masjid Rusila itu?”






