Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim menyoal bagaimana kerajaan negeri menganugerahkan darjah kebesaran dan gelaran kehormat.
Ia selepas bekas pembantu Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri yang membawa gelaran “Datuk Seri” daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ramli Ngah Talib, minggu lalu.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif – syarikat milik kerajaan negeri – Sabah Mineral Management Sdn Bhd Natasha Sim Nuo pula menerima Jaksa Pendamai (JP) oleh Yang DiPertua Negeri Sabah Musa Aman pada Jun lalu.
Farhash dan Sim sebelum ini dikaitkan dalam skandal lesen perlombongan di Sabah.

“Tidak mengejutkan apabila orang ramai terpinga-pinga. Dalam sebuah negara di mana rakyat biasa berdepan pelbagai kesusahan dan keyakinan terhadap institusi awam semakin merosot, penganugerahan seperti ini menimbulkan persoalan besar.
“Apakah anugerah negeri benar-benar berasaskan kepada merit dan khidmat bakti, atau semata-mata bergantung kepada kedudukan dan hubungan dengan kuasa serta keistimewaan?
“Adakah terdapat kriteria yang jelas dan diumumkan secara terbuka bagi memilih penerima – terutamanya mereka yang terlibat dalam kontroversi semasa?
“Jika anugerah itu dibuat atas syor kerajaan negeri, tidakkah sepatutnya rakyat dimaklumkan apakah sumbangan khusus yang melayakkan mereka menerima pengiktirafan sebegini,” soalnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X.
Reformasi proses beri anugerah
Zaid berkata penganugerahan darjah kebesaran bukanlah satu tindakan peribadi.
Katanya, pemberian gelaran seperti itu membawa makna pengiktirafan rasmi daripada pihak negeri dan secara tidak langsung mewakili rakyat.
“Apabila individu yang dikaitkan dengan skandal menerima anugerah sebegini tanpa sebarang penjelasan, ia merendahkan nilai sebenar gelaran kehormat dan mencemarkan penghormatan terhadap mereka yang benar-benar menerimanya atas dasar khidmat dan pengorbanan.
“Jika gelaran itu diberikan semata-mata atas budi bicara Yang di-Pertua Negeri tanpa proses semakan atau alasan yang kukuh, mungkin sudah sampai masanya untuk kita reformasi keseluruhan proses ini.
“Darjah kebesaran negeri sepatutnya menjadi urusan kepercayaan awam, bukannya ganjaran peribadi,” tambah Zaid.