PAS membidas cadangan seorang pemimpin kanan PKR yang menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepada mereka jika mahu menyertai kerajaan perpaduan.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata ada dua kemungkinan mengapa anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Maszlee Malik, membuat cadangan tersebut.
Pertama, kata Idris, bekas menteri terbabit sedang bermimpi, atau kedua – sengapa membangkitkannya untuk mengalih perhatian kepada masalah dialami kerajaan.
Menurut Idris PN yang bermesyuarat pada 25 Julai lalu jelas berpendirian yang mereka tidak akan “bersekongkol” dengan pihak kerajaan, manakala PAS pula “tidak lapar jawatan.”
Pada masa sama, dakwanya, sambutan orang ramai terhadap himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu memberi isyarat bawa PN sedang mendapat sokongan ramai.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN 25 Julai lalu jelas, tiada ruang untuk bersekongkol dengan puak yang sedang tenggelam dalam krisis kepercayaan rakyat.
“PAS tidak lapar jawatan, lebih-lebih lagi apabila jawatan itu datang dari ‘dapur’ yang sedang berasap dan ‘dapur’ sendiri pun tak terurus.
“Nak ajak PAS masuk kapal bocor, lepas tu hulur pelampung bernama TPM? Maaf, PAS tidak jual maruah demi jawatan,” katanya di media sosial.
PAS hargai Bersatu
Terdahulu Maszlee berkata berdasarkan kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, parti itu dilihat tidak percaya kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin.
Kata Maszlee, di mata Hashim, ada ramai pemimpin yang berkebolehan untuk menjadi perdana menteri namun mereka hanya akan menamakan calon mereka berkuasa.
“Seeloknya PAS bersama kerajaan perpaduan untuk menguatkan perdana menteri sedia ada, iaitu Anwar Ibrahim, demi rakyat, negara dan ummah sedunia.
“Jika bersama kerajaan perpaduan, peluang wakil PAS untuk menjadi timbalan perdana menteri lebih cerah dan ini akan merancakkan pembangunan negara,” kata Maszlee kepada Malaysiakini.
Idris mendakwa sambutan kira-kira 15,000 orang pada himpunan Turun Anwar sudah membuatkan kerajaan perpaduan “berpeluh dalam bilik mesyuarat.”
Justeru, katanya, PAS akan terus bergerak ke depan dan tidak perlukan sebarang “umpan jawatan” khususnya dari “kapal yang senget.”

Sementara itu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyangkal dakwaan PAS tidak yakin kepada Muhyiddin dan Hamzah.
Dia yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa, PAS sendiri mencalonkan Hamzah sebagai ketua pembangkang ketika parti terbabit mempunyai lebih ramai wakil di parlimen.
“Ini menunjukkan PAS menghargai nilai strategik Bersatu dalam PN,” katanya.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal, tidak strategik untuk PAS meninggalkan Bersatu semata-mata untuk mendapatkan jawatan timbalan perdana menteri daripada Anwar.
“Jadi untuk PAS tinggalkan Bersatu sekadar nak jadi timbalan perdana menteri, maknanya PAS sedang membakar akar umbi dan pengundi mereka sendiri – yang menjadi tindakan bodoh buat masa ini.
“Kalau PAS nak tinggalkan PN, ia mestilan dibuat dengan keputusan kolektif, bukan hanya satu parti,” katanya.