Malaysia Oversight

LKIM tangguh subsidi diesel, senarai hitam 119 kapal bot nelayan

By TheSun in November 6, 2025 – Reading time 2 minute
spot_img


LKIM tangguh subsidi diesel dan senarai hitam 119 kapal bot nelayan bagi tangani ketirisan, dengan kuota terhad 70 juta liter sebulan

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil tindakan tegas dengan menangguhkan pemberian subsidi diesel dan menyenarai hitam 119 kapal dan bot nelayan setakat Ogos lepas.

Tindakan itu antara usaha menangani isu ketirisan bahan bakar tersebut.

Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sejak 2019, juga mengehadkan kuota diesel bersubsidi bagi sektor nelayan kepada 70 juta liter sebulan.

Kuota sebelumnya adalah 80 juta liter sebulan pada tahun 2018.

Beliau berkata kuota itu membolehkan nelayan pesisir pantai, nelayan Zon A, Zon B dan Zon C mendapat manfaat bekalan diesel bersubsidi pada kadar RM1.65 seliter.

“Bagaimanapun, nelayan laut dalam Zon C2 tidak layak untuk mendapat diesel bersubsidi memandangkan mereka merupakan nelayan komersial yang lazimnya mempunyai kekuatan kewangan kukuh,” katanya.

“Ia juga merupakan satu usaha untuk menangani isu ketirisan minyak diesel terutama di perairan laut dalam.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang membangkitkan mengenai isu ketirisan subsidi diesel.

Selain itu, Amir Hamzah berkata melalui LKIM telah membangunkan aplikasi MyIsytihar sejak 2024 sebagai langkah kawalan.

Aplikasi itu memastikan nelayan yang menerima subsidi diesel membuat pengisytiharan tangkapan hasil laut kepada LKIM.

Beliau berkata pelbagai operasi penguatkuasaan terus diperkasakan dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan.

Operasi bersepadu dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan di sempadan serta mengekang aktiviti penyeludupan melalui laluan darat dan laut.

Menyentuh kesan penyasaran subsidi diesel kepada pesawah dan petani, Amir Hamzah berkata 180,000 petani, penternak dan pekebun kecil mendapat manfaat daripada Bantuan Tunai Budi Agrikomoditi.

Jumlah bayaran sehingga RM350 juta setakat 30 September 2025.

Bantuan tersebut meliputi sumbangan RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada golongan petani, penternak, pekebun kecil yang berdaftar dengan kementerian berkaitan. – Bernama


Post Views: 2



Source link