Lima rakan dihadapkan di Mahkamah Majistret di George Town hari ini atas empat pertuduhan berasingan memiliki dan mengedar dadah jenis kanabis di Gelugor, dua minggu lepas.
Bagi pertuduhan pertama, tiga daripada mereka, Muhammad Khalis Abdul Kudus, 39, Amirul Din Abd Aziz, 44, dan Mohd Firdaus Mohd Fodzi, 40, didakwa bersama-sama telah mengedar kanabis seberat 29,902 gram (g) di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2 pada 11.50 malam, 15 Ogos.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Khalis seorang penganggur dan Amirul Din yang bekerja sebagai nelayan didakwa bersama-sama telah mengedar kanabis seberat 16,179 g di sebuah rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2, di sini pada 12.50 tengah malam, 16 Ogos lepas, mengikut akta sama seperti pertuduhan pertama.
Kesemua mereka mengganguk faham dan tiada pengakuan direkodkan ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin kerana kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam mahkamah sama, Muhammad Khalis sekali lagi dituduh bersama dua rakan lain Mohd Ekmal Kamarudin, 47, dan Azhar Omar, 57, atas dakwaan bersama-sama telah memiliki kanabis seberat 43.91 g di sebuah rumah di Persiaran Sungai Gelugor 2, di sini pada 11.30 malam, 15 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.
Bagi pertuduhan terbabit, Mohd Ekmal yang merupakan pekerja bank dan Azhar yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku bersalah, manakala Muhammad Khalis tidak mengaku bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin kepada Mohd Ekmal dan Azhar sementara menunggu laporan kimia, manakala peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili mereka memohon jaminan rendah atas alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga.
Sementara itu, peguam Muhamad Asri Abdul Hamid yang mewakili Muhammad Khalis tidak membuat sebarang rayuan berikutan anak guamnya menghadapi dua pertuduhan terdahulu yang tidak boleh dijamin.
Bagi pertuduhan keempat, Amirul Din dan Mohd Firdaus yang juga seorang nelayan mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan bersama-sama memiliki dadah kanabis seberat 2.96 g di tempat sama pada 11.40 malam, 15 Ogos mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan kesemua kes ditangguhkan hingga 12 Nov bagi menunggu laporan kimia.
– Bernama