Malaysia Oversight

Lima lelaki ditahan kes pecah rumah di Miri, barangan RM80,000 dicuri

By TheSun in September 7, 2025 – Reading time 1 minute
Lima lelaki ditahan kes pecah rumah di Miri, barangan RM80,000 dicuri


KUCHING: Polis Miri menahan lima lelaki tempatan berumur antara 32 hingga 42 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Abelia, Luak Bay.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa yang merupakan sepasang suami isteri hanya menyedari rumah telah dipecah masuk ketika pulang ke kediaman kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

Antara barangan yang hilang ialah 17 unit jam tangan pelbagai jenama, dua utas rantai emas, tujuh utas gelang emas, tiga bentuk cincin emas, tiga telefon bimbit, dua komputer riba, beberapa botol minyak wangi, dokumen peribadi serta wang tunai RM30,000 dengan keseluruhan dianggarkan bernilai RM80,000.

Beliau berkata pasukan siasatan berjaya menahan semua suspek pada hari yang sama di sekitar bandar Miri dan merampas sebahagian barangan curi.

Usaha mengesan baki barangan yang masih hilang terus diteruskan oleh pihak polis.

Semakan rekod lampau mendapati empat daripada lima suspek mempunyai sejarah jenayah melibatkan kes kecurian, pecah rumah serta penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan air kencing mendapati kelima-lima suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua suspek kini ditahan reman hingga 10 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama



Source link