Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bertikam lidah dengan pendahulunya, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Pertikaman itu berlangsung dalam suasana tegang namun beradab, berkaitan insiden sehari sebelum itu apabila seorang Adun terpaksa memohon maaf atas kesilapan dari pihak kerajaan negeri.
Segalanya bermula apabila Lim (PH–Air Putih) membangkitkan apa yang dilihatnya sebagai percanggahan antara jawapan bertulis Chow pada Mei tahun lalu dan kenyataannya sekarang berhubung hutang kerajaan negeri kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Menurut Lim, Chow dalam jawapan bertulis tahun lalu menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang hutang kepada PDC.
Namun hari ini, Chow menyatakan kerajaan Pulau Pinang kini berhutang RM494.4 juta kepada PDC hasil projek pembangunan Bayan Mutiara.
Lim berhujah “percanggahan” ini mendedahkan Chow kepada risiko dikenakan tindakan disiplin kerana mengelirukan sidang DUN.
Pun begitu, Lim berkata dia tidak menyalahkan ketua menteri dalam isu ini, sebaliknya meletakkan tanggungjawab ke atas pegawai-pegawai PDC.
Penasihat DAP itu juga menegaskan tindakan perlu diambil bagi mengelakkan insiden seperti yang berlaku semalam melibatkan Ong Ah Teong (PH–Batu Lanchang).
Semalam, Ong terpaksa mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya selepas mengkritik exco kerajaan negeri, Lim Siew Khim.
Ini kerana kritikan Ong – mengenai kos operasi pusat transit gelandangan – dibuat berdasarkan maklumat balas tidak lengkap yang dimuat naik secara silap oleh sekretariat DUN ke portal yang boleh diakses oleh Adun.
Lim hari ini berhujah Ong telah ditegur atas kesalahan yang bukan berpunca daripadanya.
Kenyataan itu kemudian mencetuskan pertikaman kecil apabila Chow berulang kali menuduh Lim mendakwa Ong tidak melakukan sebarang kesilapan.
Namun Lim menjelaskan dia sekadar membuat perbandingan.
Chow membalas Lim dengan berkata “perbandingan itu tidak secocok.”
Kedua-duanya sekali lagi bertikam lidah apabila Chow berkata jika terdapat pegawai PDC yang melakukan kesilapan, maka bonus mereka akan ditarik balik, tetapi organisasi secara keseluruhan tidak sepatutnya dihukum.
Lim: Saya tak sebut itu.
Chow: Tapi saya sebut. Kalau tak sebut tak apa, tapi saya sebut.
Lim dan Chow dikatakan mempunyai hubungan yang tegang.
Chow sebelum ini pernah menimbulkan gambaran wujud dakwaan Lim cuba merancang untuk menggulingkannya.
Namun, Lim menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.