PUTRAJAYA: Atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou tidak kesal menyuarakan haknya selepas tidak menerima insentif tunai RM60,000 seperti yang dijanjikan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kepada pemenang pingat Sukan Paralimpik Paris 2024.
Liek Hou yang memenangi pingat emas pada temasya itu berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya mewakili rakan-rakan seperjuangan untuk bersuara dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Ini juga merupakan salah satu pemikiran saya, di mana saya berfikir jika saya tidak bersuara, mungkin perkara-perkara ini akan terus berlaku berulang kali kepada atlet junior atau kepada atlet para yang akan datang.
“Jadi bagi saya, saya akan cuba sedaya upaya untuk mewakili semua atlet para untuk bersuara dan menyelesaikan semua masalah yang dihadapi,” katanya selepas Majlis Pemberian Tajaan Khas kepada pemenang pingat Paralimpik 2024 di sini, semalam.
Sebelum ini, Liek Hou terpalit kontroversi selepas Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mahu mengambil tindakan undang-undang selepas dia meluahkan kekecewaan kerana tidak menerima ganjaran RM60,000 secara terbuka di laman sosial.
Liek Hou turut berkata, usahanya bagi mendapatkan ganjaran seperti yang dijanjikan adalah kerana menyedari kerjayanya sebagai atlet tidak kekal lama.
“Sudah tentu, saya rasa sebagai seorang atlet, semua orang tahu bahawa perjalanan kami untuk mewakili Malaysia tidaklah lama. Mungkin dalam beberapa tahun lagi, saya akan bersara.
“Kami juga berharap semua bonus, insentif dan skim daripada negara serta syarikat-syarikat lain benar-benar dapat menyokong kami sebagai atlet. Jadi, harapnya isu seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN






