Malaysia Oversight

LHDN berjaya kutip RM16.95 bilion cukai tambahan

By Utusan in September 12, 2025 – Reading time 2 minute
LHDN berjaya kutip RM16.95 bilion cukai tambahan


: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya membangkitkan cukai tambahan termasuk penalti sebanyak RM16.95 bilion melalui pengesanan ketidakpatuhan cukai dalam tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Ogos lalu.

Jumlah itu meliputi 1,033 syarikat membabitkan nilai cukai tambahan RM15.2 bilion, manakala sejumlah 321 individu (RM1.75 bilion).

Sepanjang tempoh itu, LHDN melaksanakan analisis risiko percukaian secara komprehensif yang membolehkan pengesanan ketidakpatuhan cukai dalam pelbagai sektor, diikuti pelaksanaan audit dan siasatan berdasarkan sumber maklumat dan teknologi analitik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, kejayaan ini adalah hasil gabungan pendekatan berasaskan data, penggunaan teknologi terkini serta kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Ini telah memperkukuh keupayaan LHDN dalam melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.

“Oleh itu, pembayar cukai diseru agar tidak menunggu sehingga ketidakpatuhan mereka dikesan melalui audit atau siasatan, yang akan menyebabkan penalti yang lebih tinggi dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memastikan cukai dipungut dengan adil dan saksama kepada golongan yang layak dikenakan cukai.

Sebagai agensi pentadbir cukai langsung di Malaysia, LHDN akan memberi sokongan penuh kepada bagi memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka dengan membayar cukai dan tidak culas.

“Sehubungan itu, semua pembayar cukai agar sentiasa memastikan maklumat percukaian yang dikemukakan adalah tepat, lengkap, dan terkini bagi mengelakkan penalti yang lebih berat serta tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

“HASiL percaya melalui penguatkuasaan yang konsisten serta penggunaan teknologi terkini dan progresif, rangka kerja fiskal yang lebih adil dan berdaya tahan dapat dibina untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

 





Source link