LG Menghentikan Pengeluaran TV 8K
Effi Saharudin
Adakah anda pernah membeli TV 8K? Sekiranya tidak anda mungkin penyumbang kepada keputusan LG untuk menamatkan pengeluaran panel 8K OLED dan 8K LCD mereka hujung minggu ini. Ini sekaligus bermakna LG tidak lagi akan menawarkan TV dengan resolusi 8K ke pasaran secara serta merta.

Ini menjadikan LG sebuah lagi syarikat selepas Sony dan TCL yang tidak lagi menawarkan TV 8K ke pasaran meninggalkan Samsung satu-satunya syarikat dalam pasaran yang mempunyai permintaan yang kecil. Masa depan TV 8K nampak kelam dengan hanya Samsung menawarkan model baharu 8K di CES 2026 bulan lalu. LG mula menawarkan TV 8K pada tahun 2019.
Hakikatnya walaupun panel 8K menawarkan visual yang menakjubkan ia hanya dapat dinikmati apabila skrin TV adalah sebesar 75″ dan ke atas. Tiadanya penawaran media fizikal dalam resolusi 8K dan platform penstriman hanya menawarkan kandungan 4K, tiada sebab mengapa TV 8K perlu dimiliki di rumah. Nampaknya seperti era TV melengkung dan 3DTV, era 8K TV juga nampaknya akan berakhir tahun ini.






