Pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, menyuarakan rasa kecewanya terhadap tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang menutup sebuah klinik pergigian swasta selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Bagi Latheefa yang juga adalah bekas ketua pesuruhjaya SPRM, tindakan MPPn adalah “keterlaluan”, sambil memberi amaran ia boleh menyebabkan rakyat mula memandang serong terhadap bendera negara.

“Pihak berkuasa tempatan telah melampaui batas undang-undang kecil. Tindakan menutup premis ini adalah ultra vires (di luar kuasa) dan tidak sah.
“Menutup premis kerana kesilapan bendera adalah tidak masuk akal; ia langsung tidak berkaitan dan tidak sepadan dengan hukuman penutupan,” katanya dalam satu hantaran di X.
Dia menekankan bahawa akibat arahan penutupan itu, pesakit pergigian yang tidak bersalah kini menjadi mangsa kerana terpaksa menunda rawatan mereka – termasuk rawatan segera yang diperlukan.
“Dengan keadaan sebegini, bila tiba Hari Merdeka nanti, hanya bangunan kerajaan yang berani mengibarkan bendera, sementara rakyat dan peniaga takut untuk berbuat demikian. Tiada siapa boleh menyalahkan mereka,” tambah Latheefa.

Sementara itu, dalam kenyataan berbeza, ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, menegaskan tindakan menutup klinik tersebut bukanlah perbuatan “Zionis” atau “membuli”.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada insiden bendera terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang, sebelum ini yang menyaksikan Pemuda Umno berhimpun mendesak tindakan terhadap pemilik premis, dengan pihak yang menentang protes pula melabel mereka sebagai “Zionis” dan “pembuli”.
Terdahulu, Presiden MPPn Abdul Azim Shamsuddin dilaporkan berkata notis penutupan dikeluarkan terhadap klinik berkenaan sekitar jam 8.20 pagi tadi.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis tersebut melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MPPn 2019, yang antara lain menetapkan syarat pengibaran bendera kebangsaan dan negeri dengan betul.

Katanya, pemilik boleh mengemukakan rayuan bertulis sepanjang tempoh penutupan, sementara arahan itu dibuat mengikut undang-undang kecil 49(2) yang memberi kuasa kepada presiden untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil.
Insiden itu tercetus selepas video berdurasi 33 saat tular memaparkan Jalur Gemilang dikibarkan terbalik di tingkat dua sebuah kedai tiga tingkat, manakala bendera Johor di sebelahnya dipasang dengan betul.
Ahli Parlimen Pontian merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, kemudian menenangkan keadaan dengan memberi jaminan kedudukan bendera berkenaan sudah diperbetulkan.