Seramai 36 penduduk Putra Heights telah memfailkan tindakan undang-undang berhubung letupan paip gas pada 1 April lalu yang memusnahkan banyak kediaman dan mencederakan ratusan orang.
Dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Penduduk Topaz dan Citrine Putra Heights memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam melalui firma guaman milik bekas peguam negara Tommy Thomas, yang juga akan bertindak sebagai peguam utama pihak plaintif.
Antara yang dinamakan sebagai defendan ialah Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) serta Kerajaan Malaysia.
Penduduk Taman Putra Harmoni mendakwa bahawa enam bulan selepas letupan, ramai antara mereka masih tidak dapat pulang ke rumah sendiri, terpaksa menumpang bersama ahli keluarga atau tinggal di penginapan sementara, manakala sebahagian lagi masih menerima rawatan pemulihan akibat kecederaan.
“Enam bulan telah berlalu, namun kesakitan dan kehilangan itu masih menghantui komuniti kami. Ramai di antara kami masih tidak mempunyai tempat tinggal kekal, menumpang di rumah saudara-mara atau tinggal di penempatan sementara.
“Ada yang masih menjalani rawatan dan pemulihan sehingga kini. Kanak-kanak masih mengalami trauma, terjaga pada waktu malam kerana ketakutan. Kami semua masih mencari jawapan dan kebertanggungjawaban.
“Kami percaya bahawa bencana ini berpunca daripada kecuaian manusia dan sepenuhnya boleh dielakkan,” kata mereka.
“Talian paip penghantaran gas diletakkan terlalu hampir di bawah rumah kami, namun langkah keselamatan tidak mencukupi.
“Kerja-kerja pembinaan di atas saluran paip telah dibenarkan, walaupun penduduk telah menyuarakan kebimbangan.
“Malah selepas letupan berlaku, kami terus dibiarkan tanpa sebarang maklumat. Siasatan dijalankan secara tidak telus, dan kerja-kerja pembaikan dilakukan tanpa penjelasan penuh kepada mereka yang kehidupannya telah musnah,” tambah kenyataan itu.
Mereka berhujah bahawa tindakan undang-undang ini juga merupakan rayuan untuk mendapatkan keadilan, pengiktirafan terhadap penderitaan mereka, serta dorongan kepada perubahan sistemik dalam cara keselamatan awam dijamin dan nyawa manusia dihargai.
“Ini bukanlah sekadar satu tindakan undang-undang. Ini adalah satu rayuan untuk keadilan, untuk pengiktirafan terhadap penderitaan kami, dan untuk perubahan sistemik dalam cara keselamatan dijaga dan nyawa manusia dihargai.
“Kami terus berharap agar mereka yang bertanggungjawab tampil ke hadapan, agar pihak berkuasa bertindak dengan telus, dan agar undang-undang memberikan keadilan yang sewajarnya kepada kami,” ujar mereka lagi.
Letupan paip gas Petronas pada hari kedua sambutan Aidilfitri itu meledakkan nyalaan api setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sekali gus mengubah kawasan sekitarnya menjadi kawah besar yang musnah.
Bencana itu memusnahkan 81 buah rumah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus manakala 81 rumah lagi rosak sebahagian, dan 57 rumah terjejas tanpa terbakar.
Pada 30 Jun, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendedahkan paip yang terlibat dalam letupan itu tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya akibat beban berulang (cyclic loading), yang menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan hingga pecah dan mencetuskan kebakaran.
Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat berkata kejadian itu berlaku walaupun paip berkenaan memenuhi spesifikasi teknikal.
Pada 8 Julai, Dewan Undangan Negeri Selangor turut dimaklumkan bahawa letupan tersebut bukan berpunca daripada kerja penggalian tanah, dan ia tidak menjadi pencetus langsung kepada kebakaran besar yang berlaku.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata siasatan oleh polis, Jabatan Mineral dan Geosains, serta JKKP mengesahkan kerja tanah tidak menjejaskan saluran paip gas tersebut.
Dia juga menolak dakwaan bahawa pembangun menjalankan kerja binaan tanpa kebenaran berhampiran kawasan rizab Petronas Gas, menjelaskan syarikat berkenaan telah mematuhi semua syarat keselamatan Petronas dan mendapat kelulusan rasmi pada 20 Mac untuk meneruskan kerja.
Amirudin turut memaklumkan kerja pembinaan semula dan baik pulih rumah yang terjejas kini berjalan lebih cepat daripada jadual.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor ketika itu Hussein Omar Khan berkata, siasatan terhadap kejadian berkenaan telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas siasatan jenayah mendapati tiada unsur kecuaian, sabotaj atau perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan pada saluran paip gas sehingga berlakunya letupan.
Menurut Hussein, kesimpulan itu dibuat berdasarkan siasatan teknikal menyeluruh yang dijalankan selepas kejadian letupan bawah tanah tersebut.






