Ibu kepada seorang pelajar universiti di Johor yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Ulu Tiram, Johor berkata dia sanggup membenarkan jenazah anaknya digali semula bagi menyiasat punca kematian.
Adun Dusun Tua, Johan Abd Aziz berkata Ummu Haiman Bee Daulatgun — ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin — menyatakan kesediaan itu ketika dia menemuinya hari ini.
Perkara berkenaan timbul susulan penggalian semula mayat Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilakukan awal hari ini.
“Kita baru sahaja dikejutkan dengan kes kematian mencurigakan Adik Zara Qairina di Sabah yang masih segar dalam ingatan rakyat.
“Kini, kita berdepan satu lagi insiden yang menimbulkan tanda tanya besar. Dua nyawa muda telah pergi dalam keadaan penuh misteri. Persoalannya – berapa ramai lagi anak bangsa kita harus menjadi mangsa?
“Kes ini bukan sekadar tragedi kematian biasa, ia adalah ujian kepada integriti institusi dan sistem penyiasatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Proses penggalian semula mayat Zara dijalankan di Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah, petang ini.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pada 2 Ogos, Ummu menyuarakan syak bahawa anaknya yang berusia 22 tahun telah dibunuh dan menggesa siasatan penuh dijalankan.
Katanya, dia melihat kesan lebam teruk, pendarahan dari hidung dan mata, serta luka yang menyerupai kesan tembakan dan kecederaan itu kelihatan tidak selari dengan penjelasan yang diberikan kepadanya.
Mengulas lanjut, Johan menggesa polis, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan menyiasat kematian Syamsul.
“Sekiranya tiada tindakan konkrit diambil, saya berserta peguam dan ahli keluarga tidak teragak-agak untuk membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) agar keadilan dapat ditegakkan.,” tegasnya.
Menurut Johan, berdasarkan pemerhatiannya yang dikumpulkan daripada penjelasan keluarga serta kronologi yang diperoleh, terdapat beberapa dakwaan kejanggalan dalam kes ini, antaranya:
-
Dua versi punca kematian – satu mendakwa akibat dipukul, satu lagi mendakwa akibat sawan.
-
Keadaan jenazah yang mencurigakan – kesan lebam, tanda seperti dicekik dan pendarahan berterusan dari hidung, telinga dan leher walaupun selepas 24 jam kematian.
-
Kegagalan pihak hospital memastikan bedah siasat dilakukan oleh Pakar Forensik bagi kes berprofil tinggi, sebaliknya dilakukan oleh dua pegawai perubatan biasa (Medical Officer).
-
Sekatan terhadap waris – tidak dibenarkan menyaksikan proses bedah siasat atau memandikan jenazah, serta tidak dapat bertanya kepada rakan pelatih arwah tentang insiden sebenar.
-
Sikap pihak berkuasa tempatan – laporan polis pada awalnya enggan diterima dan terdapat penjelasan yang bercanggah daripada pegawai-pegawai Palapes.
Pada 1 Ogos, Ummu dalam sidang media berkata dia dimaklumkan mengenai tragedi itu pada 28 Julai sekitar jam 4.30 petang melalui panggilan telefon daripada seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, tempat Syamsul menuntut.
Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Yusof Othman berkata tiada unsur jenayah atau kecederaan luaran ditemui pada tubuh Syamsul pada peringkat awal namun keputusan makmal masih menunggu bagi mengesahkan punca kematian.

Pada hari itu juga, Menteri Pertahanan Khaled Nordin dilaporkan mengumumkan penubuhan jawatankuasa antara kementerian untuk menyiasat kematian Syamsul.
Dia dpetik NST berkata jawatankuasa itu terdiri daripada wakil kementeriannya, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
November tahun lalu, seorang pelatih Palapes dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, turut meninggal dunia ketika latihan dan bapanya telah membuat laporan polis.
Polis kemudian berkata siasatan awal mendapati mangsa, yang menyertai pasukan beruniform itu sejak Oktober, sedang menjalani ujian kecergasan menjelang latihan asas yang dijadualkan tahun berikutnya apabila dia meninggal dunia akibat strok haba.