Meluahkan rasa kecewa berhubung kes rasuah membabitkan pegawai tinggi tentera, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah tidak mustahil, selepas ini angota pangkat lain, seperti sarjan dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera (PAT).
Sambil menegaskan rasuah merupakan musuh utama kepada pelbagai perkara termasuk hal melibatkan pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat, titah baginda, penjawat awam yang terbabit dengan jenayah rasuah adalah pengkhianat .
“Suka saya ingatkan di sini segala perancangan dibuat tak akan sempurna kalau amalan rasuah masih berleluasan, saya pernah sebut dulu saya datang ke Kuala Lumpur untuk buru perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia, sehingga ke peringkat tertinggi, agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sahaja jadi Panglima Angkatan Tentera,” titahnya.
Seri Paduka bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di Dewan Rakyat, hari ini.
“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam dewan ini akan diburu sampai jumpa.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” titah baginda.
[Berita penuh menyusul]






