Malaysia Oversight

Lepas 5 jam disoal SPRM, Kitingan kata nak fokus rakyat, PRN

By MkiniBM in September 26, 2025 – Reading time 1 minute
Lepas 5 jam disoal SPRM, Kitingan kata nak fokus rakyat, PRN


Selepas lima jam dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jeffrey Kitingan berkata dirinya kini menumpukan kepada rakyat dan pilihan raya negeri akan datang.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sabah itu tiba di pejabat SPRM Kota Kinabalu sekitar jam 5.30 petang semalam dan keluar kira-kira jam 11 malam.

Dia mengesahkan proses memberi kenyataan telah selesai namun enggan mengulas lanjut dengan alasan ia mungkin menjadi sebahagian daripada siasatan.

“Saya telah memberi kenyataan. Mari kita tumpu kepada rakyat dan pilihan raya sekarang,” kata Ahli Parlimen Keningau itu kepada Malaysiakini.

Setiausaha Sulitnya, Rizal Johari Utto, turut dipanggil untuk disoal siasat secara berasingan selama hampir tiga jam.

Kehadiran Kitingan di SPRM berlaku sehari selepas ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan video terbaharu melalui Malaysiakini.

Dalam video itu, Tei mendakwa dia membayar RM1.78 juta kepada Kitingan berkaitan lesen penerokaan perlombongan yang dibatalkan.

Tei juga mendakwa jumlah tersebut adalah bayaran terbesar yang diberikan kepada mana-mana ahli politik yang dikaitkan dengan skandal itu, dan berkata wang tersebut diserahkan ketika pertemuan di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada Oktober 2024.

Dakwaan itu mencetuskan tindakan SPRM untuk memanggil Kitingan bersama pembantunya bagi memberikan keterangan.

Kitingan menegaskan dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.



Source link