Malaysia Oversight

Lenturlah dari rebungnya! – Utusan Malaysia

By Utusan in September 14, 2025 – Reading time 3 minute
Lenturlah dari rebungnya! - Utusan Malaysia


DUA minggu lalu, Poklip berpeluang untuk duduk di Kerusi Panas, salah satu segmen dalam program baharu, Talk To My Manager (TTMM). Poklip sebenarnya malu-malu juga mahu terima pelawaan, tetapi sekali sekala keluar TV, apa salahnya.

Rasanya bukan Poklip seorang sahaja yang mempunyai tanggapan positif terhadap program itu. Bukan sebab Poklip pernah muncul di episod kedua TTMM, tetapi format dan hala tujunya jelas.
Kita sememangnya sangat mendambakan program yang mengetengahkan bakat cilik. Tetapi kali ini, memfokuskan kepada anak-anak selebriti. Mereka yang dari kecil, terdedah dengan dunia glamor ini.

Tetapi tidak semua tahu atau sedar, mereka ini ada bakat sendiri. Mungkin juga kerana mewarisi bakat semula jadi ibu bapa atau memang dilahirkan sebagai bakal bintang yang menyinar.
Walaupun ada beberapa peserta yang Poklip lihat tidaklah terlalu hebat dalam bidang nyanyian tetapi masing-masing mempunyai star quality itu. Apatah lagi di era media sosial, memang mudah peminat tangkap ‘cintan’.

Auddra, anak kepada Sharifah Shahirah antara peserta yang Poklip rasa mempunyai masa depan yang amat cerah. Kalau tidak sebagai penyanyi sekali pun, dia boleh mewarisi kehebatan ibunya mengacara atau berlakon.

Lihat sahaja kepetahan, cara komunikasi dan bagaimana dia membawa diri di atas pentas. Mentang-mentang ‘anak angkat’ Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, lagi bersinarlah dia.
Begitu juga dengan Ara, anak kepada sutradara hebat, Aziz M. Osman. Di sebalik tubuh genit dan kecil, Poklip merasakan dia cukup ‘matang’ di usianya. Di kala ramai peserta memilih visual, dia memilih penceritaan.

Itu bagi Poklip penting terutama ramai peminat cilik yang menonton. Lihat sahaja bagaimana dia mengatur persembahan yang membawa agenda anti buli. Pujian demi pujian diterima baik secara langsung atau di media sosial.

Mungkin bakat nyanyian mereka belum cukup matang dan menyerlah (maaf cakap) sebaik Thalita atau Amad, tetapi ayuh kita lihat dari sudut konteks yang lebih besar. Mereka penghibur in the making!

Hadie juga, anak kepada Ina Naim yang mulanya hadir sebagai peserta underdog tetapi bagi Poklip suara dan personalitinya cukup menyenangkan. Jika digilap dan dijaga dengan baik, pasti ada hasilnya.

Tetapi janganlah pula Ina terlalu defensive ya. Tahu sayang anak, tetapi ibu mana tak sayang anak kan. Didiklah dia supaya mengenal bakat dan kelebihan diri sendiri. Beri dia peluang untuk meneroka peluang yang ada.

Tidak terkecuali puteri kepada Liza Hanim, Marsya yang secara peribadi Poklip rasa, dia juga ada bakat nyanyian yang hebat sama sepertI dua peserta yang disebut sebelum ini. Tetapi mungkin dia perlu gali dalam auranya.

Cuma masing-masing masih muda. Banyak masa dan peluang. Dan semestinya ibu bapa masing-masing sudah dahulu rasa masin, manis, pahit, masam dan pedasnya dunia. Tidak semuanya indah ya adik-adik.

Poklip harap lebih banyak program sebegini diadakan. Sebelum ini kita ada Idola Kecil, Bintang Kecil dan banyak lagi. Kita seharusnya mula mencari pelapis muda yang bakal mewarisi kejayaan industri seni tempatan.

Berilah peluang kepada mereka dan jangan hadirkan kecaman, kritikan serta buli kepada hidup mereka. Ayuh rayakan semua dengan positif.





Source link