Lenovo Legion Go 2 Dilancarkan Secara Rasmi – Dikuasakan Cip AMD Ryzen Z2 Extreme, Perkakasan Dikemaskini
Nazrin
Lenovo telah akhirnya memperkenalkan salah satu konsol PC mudah-alih yang ditunggu-tunggu ramai, iaitu Lenovo Legion Go 2 sewaktu acara Lenovo Innovation World yang berlangsung di Berlin. Konsol ini mengekalkan sejumlah rekaan yang diperlihatkan pada model pertama, tetapi memperlihatkan juga sejumlah kemaskini baru yang menjadikan konsol ini lebih baik berbanding sebelumnya.

Bermula dengan paparan skrin, Lenovo mengekalkan saiz paparan 8.8 inci dan resolusi 1920×1200 besar mereka, dan kali ini menaiktarafkan paparan konsol tersebut ke panel sesentuh Lenovo PureSight OLED, berbanding dengan IPS LCD berbanding sebelum ini. Kadar segar semula 144Hz juga telah dikekalkan dengan paparan ini.

Dari segi komponen dalaman pula, Lenovo Legion Go 2 kini dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang dibina menggunakan teras AMD ZEN 5, dan tampil dengan jumlah teras dan bebenang yang sama berbanding dengan Ryzen Z1 Extreme sebelum ini.

Selain daripada cip AMD terbaru ini, Lenovo Legion Go 2 turut tampil dengan pilihan memori 32GB LPDDR5X, dan pilihan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB. Saiz bateri konsol ini turut dinaiktarafkan, dan kini hadir dengan bateri sebesar 74Wh, berbanding dengan 49.2Wh pada model yang lepas.

Alat kawalan Legion TrueStrike juga telah dikemaskini. Ia masih lagi hadir dengan rekaan yang boleh dicabut, tetapi kali ini susunan butang dan kayu analog telah dibuahsuai untuk menjadikannya lebih selesa, manakala alat kawalan analog pula telah ditukar dengan komponen Hall Effect, yang menjanjikan isu stick drift tidak berlaku walaupun ia digunakan secara agresif.

Sistem penyejukan Legion Coldfront juga telah dikemaskini untuk memuatkan kipas yang lebih besar yang membolehkannya untuk mengalirkan udara masuk dan keluar dengan lebih cekap.


Dari segi palam, Lenovo Legion Go 2 hadir dengan dua palam USB 4 (di bahagian atas dan bawah) yang boleh digunakan untuk mengecas dan juga menyambungkan konsol ke paparan skrin, satu slot MicroSD untuk menambah storan dan pengimbas cap jari pada butang kuasa konsol, yang menyokong teknologi log masuk Windows Hello.

Lenovo mengatakan bahawa konsol Legion Go 2 ini akan dilancarkan pada penghujung bulan ini, di pasaran tertentu seperti Eropah dan Amerika Syarikat. Jangkaan kami ialah jualan untuk pasaran Malaysia juga akan menyusul tiba tidak lama kemudian. Harga jualan untuk model asas ditetapkan pada 999 Euro, tetapi buat masa ini Lenovo belum mengesahkan apakah spesifikasi yang akan tiba untuk model ini.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.